JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam proses menyemak semula dasar berkaitan dan amalan imigresen secara agresif sebagai sebahagian daripada strateginya menjadikan negara sebagai hab bakat dan pengetahuan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dengan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk meletakkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan, beliau percaya Malaysia mempunyai beberapa kelebihan dan kekuatan yang akan membantu negara untuk muncul dan menjadi hab bakat kepada semua.

Justeru, kementerian menyasarkan untuk menarik dan memupuk minda dan individu berbakat dari seluruh dunia dan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan untuk menjana, menyebarkan dan mengaplikasikan pengetahuan.

"Etos negara pada masa ini iaitu Malaysia MADANI adalah tentang mewujudkan nilai dan makna. Untuk itu, kami mengalu-alukan dan menjadi tuan rumah kepada semua bakat muda dan minda hebat dari seluruh dunia, dengan tangan terbuka," katanya semasa berucap pada majlis makan malam bagi membuka tirai Forum Presiden-Presiden Universiti UTM (UTM-UPF) 2023 di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Mohamed Khaled berkata Malaysia berhasrat menjadi tuan rumah kepada seramai mungkin bakat dan minda yang hebat untuk belajar dan berkongsi kepakaran serta pengalaman dengan banyak negara.

Sementara itu, beliau menggesa pemimpin universiti dari seluruh negara dan dunia menjalin perkongsian dan kerjasama menerusi UTM-UPF.

"Dengan memperjuangkan kerjasama global, anda secara proaktif memotivasikan komuniti akademik untuk mencari peluang antarabangsa, pengaruh anda melangkaui bidang akademik.

"Dengan mempamerkan kesan positif terhadap perkongsian rentas sempadan, anda dapat menyokong kerjasama dan diplomasi antarabangsa, mempromosikan dunia yang lebih saling berkaitan dan aman. Untuk itu, marilah kita memulakan perjalanan kerjasama yang lebih tegas dan strategik untuk memajukan pendidikan tinggi dan memacu kemajuan negara ke tahap baharu," katanya.

Forum UTM-UPF ke-13 dengan tema "Menginovasi Solusi: Melebar Horizon", dihadiri oleh 25 presiden institusi pendidikan tinggi dan 115 perwakilan dari 11 negara.

-- BERNAMA