SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi keutamaan kepada usaha untuk menaik taraf rangkaian, merangkumi peluasan dan peningkatan liputan WiFi di semua universiti awam di negara ini

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi tujuan itu kementerian telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan projek berkenaan khasnya di beberapa universiti yang mengalami masalah dan tiada capaian Internet.

"Tidak dinafikan di sesetengah tempat memang ada gangguan atau tiada capaian Internet. Kementerian telah mengenal pasti tempat untuk menangani masalah tersebut," katanya tanpa mengulas lanjut tentang jumlah peruntukan yang dimohon serta universiti terlibat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sembilan yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail, pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta KPT akan melaksanakan tindakan segera bagi memastikan kesalinghubungan di kampus ditambah baik.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kolej Komuniti berperanan sebagai penghakupayaan masyarakat setempat selain menjadi institusi yang memberi nilai tambah kepada masyarakat sekeliling menerusi pelbagai program kemahiran ditawarkan.

"Kolej Komuniti memberi peluang kedua kepada masyarakat setempat menerusi tawaran program kemahiran dan sijil. Ia merupakan satu instrumen penghakupayaan masyarakat melalui kursus-kursus pendek," katanya.

Selain itu, katanya Kolej Komuniti juga menjadi ejen perubahan masyarakat dan mahu institusi itu terus diperkasa demi menggalas agenda negara serta menjadi nadi masyarakat setempat.

-- BERNAMA