MALAYSIA
KPWKM bantu ibu tunggal tuntut nafkah melalui KasihnITa 2025

Datuk Seri Nancy Shukri berkata, masih ramai wanita khususnya ibu tunggal yang menjadi mangsa keengganan bekas suami mematuhi perintah tersebut, sekali gus memerlukan sokongan guaman untuk menuntut hak mereka. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa 2025) akan memberi tumpuan khusus kepada isu kegagalan bekas suami menunaikan nafkah terhadap bekas isteri seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.
Ringkasan AI
- Program KasihnITa 2025 akan membantu ibu tunggal menuntut nafkah daripada bekas suami yang enggan mematuhi perintah mahkamah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
- Program ini turut memberi penekanan kepada aspek pengurusan kewangan dan pembangunan potensi diri dalam kalangan ibu tunggal.
- Dengan peruntukan RM1.6 juta menerusi Belanjawan 2025, program ini menyasarkan penyertaan 1,500 ibu tunggal di enam zon seluruh negara dari Ogos hingga Disember.
“Maka, di sinilah intervensi kementerian diperlukan yang mana kita membantu untuk si ibu tunggal ini menuntut nafkah supaya si suami beri nafkah," katanya pada Program KasihnITa 2025 di ibu negara, hari ini.
Jelas beliau, akses kepada khidmat guaman membolehkan tindakan susulan seperti pelaksanaan execute judgement dibuat sekiranya bekas suami masih gagal melaksanakan tanggungjawab.
Program KasihnITa 2025 turut memberi penekanan kepada dua aspek lain iaitu pengurusan kewangan dan pembangunan potensi diri.
Dilaksanakan secara rintis sejak 2023 di Lembah Klang dengan penglibatan 300 peserta, program itu diteruskan pada 2024 di Sarawak dengan berfokus melibatkan jumlah peserta yang sama.
Menerusi Belanjawan 2025, program ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM1.6 juta dan menyasarkan penglibatan seramai 1,500 ibu tunggal meliputi enam zon di seluruh negara.
KasihnITa 2025 akan bermula pada Ogos sehingga Disember dan mendapat kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta pakar psikologi dari Jiwa Damai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami