TELUK AIR TAWAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membelanjakan RM615,000 untuk bekalan makanan di beberapa negeri yang terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan tersebut masih dalam proses penghantaran namun keperluan makanan masih tidak mencukupi dan pihaknya memerlukan bantuan tambahan bagi menampung keperluan mangsa banjir yang semakin bertambah.

Beliau berkata, sejumlah 42,000 mangsa terkesan banjir di dilaporkan di Johor setakat ini.

Katanya, Yayasan Kebajikan Negara melalui badan korporat turut menyumbang serta akan memberi tambahan RM50,000 bagi menampung keperluan mereka yang terjejas banjir.

"Kita amat memerlukan bantuan ini kerana ia melepasi bantuan kerajaan, bantuan kerajaan tak cukup tetapi kalau ada di luar sana membantu syukur alhamdulillah tetapi setakat ini alhamdulillah ada yang mendengar dan cuba nak memberi bantuan ini dan kita bukalah tawaran untuk membantu ini kepada pihak di luar sana yang mempunyai kemampuan untuk membantu," katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, pihaknya turut akan melihat keperluan bantuan di Sabah dan Sarawak serta berharap situasi banjir di dua negeri itu tidak memburuk seperti di Johor.

"Kerana ini dianggap seperti krisis nasional walaupun ia di Semanjung setakat ini di Sabah Sarawak tak banyak kita harap pada pertengahan Mac ini yang dikatakan akan lanjut ke Sabah dan Sarawak, dan diharapkan ia tidak keterlaluan seperti mana dihadapi oleh terutamanya sekali Johor," katanya lagi.

Selain itu, Nancy berkata pihak KPWKM juga sudah menambah kekuatan pasukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari negeri-negeri lain bagi membantu mangsa banjir di negeri terlibat.

Media melaporkan keadaan banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi ini.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

Selain sumbangan makanan, Nancy berkata pihaknya melalui JKM akan memberi bantuan dari segi sokongan moral dan emosi serta kaunseling kepada mangsa banjir di PPS.
  


Sementara itu, mengulas mengenai insiden tiga petugas JKM yang terperangkap semasa dalam perjalanan menghantar bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Parit Haji Kamisan di Yong Peng , Nancy berkata, petugas JKM sememangnya sudah jelas dengan prosedur operasi standard (SOP) situasi bencana.

Namun insiden hari pertama itu berlaku di luar jangka dan beliau bersyukur tiga petugas terbabit berjaya diselamatkan.

"Sebenarnya hari pertama berlaku agak tidak terurus sebab ia berlaku pada dinihari jadi tahulah dalam keadaan ini namun begitu kita telah mempersiapkan petugas untuk mendapat bantuan lain," katanya lagi.

Nancy berkata demikian pada sidang media selepas program Lawatan ke Laman Wanita ( LaWa) Tasek Gelugor di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang pada Ahad.

LaWa merupakan pusat aktiviti setempat yang menawarkan pelbagai 
program dan aktiviti pemerkasaan wanita melalui aspek peningkatan kemahiran asas.

Melalui program dan aktiviti yang dilaksanakan di LaWa, wanita dapat 
mengenal pasti bakat dan potensi yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Setakat ini, sebanyak 14 buah LaWa sudah diwujudkan di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan 
serta Wilayah Persekutuan Labuan.