POKOK SENA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti seramai 33 kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung selepas ibu bapa atau penjaga mereka meninggal dunia akibat COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun bagaimanapun memaklumkan, kesemua anak-anak yatim itu akan dibantu dari pelbagai sudut dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

Menurut beliau, kanak-kanak tersebut akan diserahkan kepada ahli keluarga atau waris terdekat yang bersedia dan mempunyai kemampuan untuk menjaga mereka.

Namun Rina berkata, sekiranya keadaan sebaliknya berlaku, mereka akan ditempatkan di tujuh institusi penempatan dan perlindungan kanak yang telah disediakan pihak KPWKM, sama ada secara sementara atau tetap.

Jelasnya, antara institusi yang terlibat adalah Rumah Kanak Kanak (RKK) Pokok Sena, RKK Mini Kelantan, Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, TSP Cheras, TSP Kota Kinabalu, TSP Kuching serta Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka.

"Kalau mengikut senarai yang (kita) dapat daripada (Kementerian Kesihatan Malaysia) KKM, setakat ini kita ada 33 orang kanak kanak (yatim piatu akibat COVID-19), itu senarai daripada KKM yang kita terima.

"Kita juga mengalukan-alukan penglibatan daripada pemimpin masyarakat sebab kita tahu kematian ini tidak dijangka.

"Laporan yang kita dapat (terhad) sehingga tarikh (tertentu), tetapi jika ada laporan baharu (kematian ibu bapa) yang diterima, boleh maklumkan kepada Talian Kasih 15999 atau berhubung dengan mana-mana 108 pejabat kebajikan daerah di seluruh negara," kata Rina.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan di Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, katanya kanak-kanak terbabit turut akan diberi kaunseling secara berkala oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia agar keadaan emosi mereka sentiasa terjaga dan berada pada tahap yang baik.

Rina turut menzahirkan harapan agar ahli keluarga terdekat serta jiran mereka agar sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak ini agar mereka tidak merasa tersisih.