Kredibiliti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya antara perkara yang menjadi fokus pada pertemuannya dengan panel Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.
Perkara itu diakui sendiri oleh Latheefa pasca mesyuarat di Parlimen bersama enam anggota panel mewakili pelbagai parti.
"Saya berpuas hati dengan proses serta soalan yang ditanya. Saya boleh menjawab apa yang termampu. Itu tugas saya untuk memberi kerjasama, mengetengahkan dan menjelaskan isu, jika berkehendaki.
"Ada pelbagai soalan (diajukan), kebanyakkan soalan sama ada saya mampu serta apakah visi, misi dan fokus saya," katanya kepada media pasca mesyuarat tersebut di Parlimen hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung selama hampir satu jam itu dipengerusikan oleh William Leong Jee Keen (PH PKR-Selayang) dengan dihadiri lima anggota lain iaitu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH PKR-Ledang), Fong Kui Lun (PH DAP-Bukit Bintang), Datuk Dr Hasan Bahrom (PH Amanah-Tampin), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN UMNO-Bera) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).
Bagaimanapun, seorang lagi anggota panel, Ngeh Koo Ham (PH DAP-Berus) tidak hadir pada mesyuarat tersebut.
Sementara itu, William dalam reaksi berkata, pihak PSC berpuas hati dengan mesyuarat tersebut selain akan mengemukakan laporan serta cadangan kepada Parlimen dalam masa terdekat.
"Mengikut undang-undang, adalah jelas Seksyen 5(1) Akta SPRM, kuasa pelantikan dibawah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
"Namun, kita juga sebagai PSC di mana terma rujukan kita adalah untuk meneliti pelantikan beberapa jawatan awam, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM, untuk memastikan bahawa pelantikan dibuat atas dasar merit. Dan hari ini, kita melaksanakan tugas kita serta telah mendapat beberapa jawapan yang penuh tetapi kita tidak boleh perincikan," katanya.
Ditanya berkenaan mekanisme yang akan dikemukakan oleh PSC, kata William, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam masa terdekat.
"Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan Abu Kassim untuk mengadakan satu mekanisme holistik, seperti menjadi hasrat kita dalam janji-janji manifesto Pakatan Harapan.
"Pertemuan itu akan dibuat selepas beliau pulang dari Vienna," tambahnya.