KUALA LUMPUR: Pemain industri pembinaan digesa untuk melihat keselamatan sebagai satu pelaburan dan bukannya sebagai kos semata-mata, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku, seperti kejadian kren tumbang sehingga mengganggu operasi tren elektrik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 12 Dis.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Oliver Wee Hiang Chyn yang mengakui bahawa hampir kesemua benda dalam industri itu melibatkan kos, namun, berpandangan bahawa pemilik projek, konsultan atau mana-mana pihak, perlu menawarkan harga yang sesuai supaya kontraktor boleh memperuntukkan jumlah tertentu untuk langkah-langkah keselamatan.

"Jika anda melihat langkah-langkah keselamatan di negara maju seperti Australia dan Eropah, mereka tidak perlu risau kerana keperluan langkah keselamatan yang sangat ketat, tempoh masa pembinaan mereka juga tiga kali ganda daripada kita, anda tidak boleh dapat sesuatu yang baik, pada harga yang sangat rendah.

"Mengeluarkan belanja atas sesuatu keperluan dan semua tidak perlu risau...keselamatan bukan kos, keselamatan ialah satu pelaburan, keselamatan ialah suatu keuntungan kerana anda tidak akan kehilangan aset dan masa anda," katanya kepada Bernama.

Pada kejadian 12 Dis, perkhidmatan tren KTMB Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan perjalanan, disebabkan kren tumbang berhampiran landasan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Mohd Zaid Zakaria menyarankan pihak kontraktor, untuk menjadikan kod amalan berkaitan keselamatan dan kesihatan melalui penyediaan Standard Industri Pembinaan (CIS) yang telah dibangunkan oleh lembaga itu, sebagai rujukan dalam memastikan amalan pembinaan yang baik.

"CIS 28:2021 boleh dijadikan rujukan kepada kontraktor, bagi mengadakan prosedur kerja selamat kerja pembinaan dan CIS 10:2019, bagi menilai tahap keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan. Melalui penilaian risiko dan prosedur kerja selamat yang diterapkan kontraktor, insiden kemalangan boleh dikurangkan," katanya.

CIS 28:2021 (Keselamatan Pengguna Jalan Raya dan Orang Awam, Kerja Pembinaan Bersebelahan dan Atas Jalan Raya) dibangunkan bagi rujukan pihak kontraktor yang merancang untuk menjalankan aktiviti pembinaan bersebelahan atau di atas jalan raya/pengangkutan awam sedia ada, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan kepada pengguna jalan raya atau orang awam.

Ia antara lain telah memperkenalkan senarai semak untuk membantu kontraktor mengambil langkah sepatutnya sebelum, semasa dan setelah selesai pelaksanaan aktiviti pembinaan.

CIS 10:2019 (Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan di tapak Pembinaan- SHASSIC) pula, merupakan satu kaedah yang digunakan untuk menilai tahap keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan.

Selain itu, Pensyarah Kanan Program Ukur Bangunan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Md Azree Othuman Mydin berkata, insiden berkenaan, seharusnya membuka mata semua pihak supaya lebih peka terhadap isu pengendalian kren secara holistik, supaya ia tidak berulang dan mengancam nyawa.

Beliau berkata, antara aspek yang boleh ditambah baik ialah aturan kerja, kerana melalui pelaksanaan aturan, tatacara dan perancangan kerja yang tepat dan teliti, sebelum mengoperasikan kren di kawasan berdekatan pengangkutan awam, ia mampu membantu mengenal pasti potensi bahaya dan merangka langkah pengawalan.

"Kren perlulah berkemampuan untuk mengangkat beban dengan selamat. Kapasiti pembawa beban maksimum kren harus dipatuhi. Operator kren hendaklah sentiasa mematuhi Carta Beban Kren yang ditetapkan dan memastikan beban yang diangkat tidak melebihi kapasiti yang ditetapkan.

"Keadaan cuaca harus sentiasa dipantau untuk sebarang perubahan yang tidak dijangka. Operasi kren hendaklah dihentikan serta-merta jika keadaan cuaca buruk, terutamanya bila berlakunya hujan lebat dan angin kuat," katanya.

Md Azree turut mencadangkan supaya, apabila kren digunakan berdekatan dengan kawasan pengangkutan awam berlandasan, sistem anti-pelanggaran kren boleh digunakan, bagi mengurangkan risiko interaksi berbahaya yang berlaku antara kren dan struktur lain, seperti yang telah diwajibkan di Perancis.

"Sebelum penggunaan kren, ia haruslah diperiksa dengan teliti untuk memastikan ia selamat dan bebas daripada sebarang kerosakan. Jika terdapat sebarang masalah dikesan, lebih baik untuk tidak menggunakan kren tersebut sehingga ia dibaiki oleh pihak yang berkemahiran.

"Selain itu, pemeriksaan menyeluruh tambahan hendaklah dijalankan oleh konsultan kren yang kompeten, jika terdapat sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau sebarang kejadian luar biasa yang boleh menjejaskan keselamatan kren," katanya. - BERNAMA