Satu lagi insiden kren tumbang terjadi di tapak pembinaan projek MRT malam tadi, mengakibatkan seorang pekerja maut dan seorang cedera.

Dalam insiden kira-kira jam 11.48 malam itu, Mohd Firdaus Abdul Multalib, 41 tahun, meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian 40 kaki.

Seorang lagi mangsa yang tersepit berjaya diselamatkan pihak bomba yang mengambil masa tidak sampai tiga minit untuk tiba di lokasi kejadian yang berlaku di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, kedua-dua mangsa adalah rakyat Malaysia.

Seramai 38 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Hartamas dan Hang Tuah telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan jentera TTL dalam tempoh kira-kira dua jam.

"Semasa kejadian, mereka sedang membuat operasi pembinaan mengalih kren,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Mohamad Adha Md Nazir.

Mohamed Rafiq berkata, sewaktu kejadian, seramai 28 orang berada di lokasi, terdiri daripada lapan pekerja warga Bangladesh dan selebihnya warga tempatan.

"Benda yang jatuh ini dikenali sebagai kren pelancar galang (launching girder) dan ketika kejadian, kami percaya kebanyakan pekerja berada di tingkat atas," katanya.



Punca kejadian sedang disiasat.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohamed Rafiq berkata mangsa yang cedera di bahagian kaki dikenali sebagai Zulhilmi dan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.

MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) dalam satu kenyataan berkata, tiada orang awam cedera dalam insiden itu, yang berlaku sepenuhnya dalam kawasan ruang kerja dan tidak menjejaskan mana-mana kawasan awam.

Tapak kerja terbabit berada di bawah Pakej Kerja V203 dan kontraktor pakej kerja (WPC) adalah IJM Construction Sdn Bhd.

MMC Gamuda, rakan penyampai pembinaan MRT Laluan SSP, bersama-sama pemilik projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, telah mengadakan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

"Kami ingin menyatakan bahawa penggunaan pelancar galang dalam pembinaan itu mengikut prosedur keselamatan yang ketat. Bagi yang telah dipasang adalah selamat," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga, pemeriksaan dan prosedur keselamatan telah dipertingkatkan pada semua pelancar galang sedia ada bagi projek itu.

"MMC Gamuda, MRT Corp dan semua yang terlibat dalam projek ini menyampaikan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa. Semua sokongan yang diperlukan akan diberikan kepada keluarga mangsa dalam masa sukar ini," tambah kenyataan itu.