KUALA LUMPUR: Dalam berdepan isu kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga barang, bukan sahaja golongan kebanyakan, khususnya dalam kelompok B40, yang menghadapi cabaran.

Tidak dilupakan, masalah di peringkat penternak dan pengeluar, seperti yang dikongsikan Pengurus Besar Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd Azli Saat, menerusi program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Menurutnya, terdapat lima perkara yang menjadi cabaran utama penternak dan pengeluar ayam.

Pertama ialah masalah kekurangan tenaga kerja.

Katanya, Malaysia terlalu bergantung kepada pekerja asing kerana rakyat negara ini beranggapan ‘tiada kelas atau standard’ jika bekerja di reban ayam.

Apabila berlaku pandemik COVID-19, katanya, pekerja asing juga berkurangan kerana ada yang kehilangan ahli keluarga di kampung halaman dan selama lebih dua tahun tidak dapat pulang ke negara ini.

“Jadi, apabila sempadan dibuka, untuk Bismi sahaja, 30 peratus daripada pekerja lari balik (ke negara asal), jadi tinggallah reban kosong. Kalau nak ganti tenaga kerja yang hilang sekarang ini, terlampau lambat.

“Kita di Bismi ada 143 reban di 18 ladang, namun lima reban kena tutup kerana tak cukup tenaga kerja, yang ada pun terpaksa jaga dua atau tiga tempat,” kata Azli.

Masalah kedua ialah, kenaikan harga bahan mentah yang melampau.

Makanan ayam iaitu dedak mengalami kenaikan harga yang mencanak ekoran harga bahan pembuatan utamanya iaitu jagung bijirin dan kacang soya yang terkesan akibat krisis rantaian bekalan global.

Dua hasil tanaman itu juga, yang sebenarnya boleh ditanam di tanah negara ini yang subur, hampir 100 peratus diimport dari luar negara, antaranya Ukraine dan Brazil.

“Daripada harga dedak RM80 pada Oktober 2020, sekarang sudah jadi RM128, iaitu kenaikan 60 peratus,” jelasnya.

Ketiga, harga anak ayam juga naik.

Namun, kata Azli, sesuatu yang menghairankan ialah, harga anak ayam meningkat sehingga 75 peratus, sama sekali tidak selari dengan kenaikan harga dedak.

Ini katanya, sekali gus menyebabkan penternak berdepan kerugian.

Keempat ialah masalah peningkatan kos upah buruh.

Atas desakan susulan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan baru-baru ini menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 sebulan.

Ia mungkin memberi sedikit kelegaan kepada golongan penerima, tetapi ada majikan seperti Azli yang berdepan kesulitan untuk menanggung kenaikan kos yang perlu dibayar kepada pekerjanya.

“Ia memberi 25 peratus impak kepada kita, iaitu penambahan sekitar RM800,000 setahun,” katanya.

BACA: Subsidi makanan kepada golongan miskin tegar adalah lebih baik - Pakar 

BACA: Kita perlu data struktur industri makanan yang menyeluruh - Pakar

Kelima, penetapan harga siling untuk jualan ayam.

Menurut Azli, apabila kerajaan sudah menetapkan kos siling, para penternak terpaksa menanggung apa juga perubahan kos pengoperasian dan pengeluaran yang ketika ini masih tidak menunjukkan trend penurunan.

“Kami tak boleh buat apa-apa. Kos naik harga tetap macam ini. Kalau diberi bantuan subsidi, Alhamdulillah kita boleh teruskan. Tetapi, subsidi yang kita tunggu belum lagi nampak,” katanya.

Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru yang turut menampilkan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Famox Plantation M Sdn Bhd Ramana K Naidu, dengan Nazri Kahar sebagai hos, di sini: 

Lima cabaran besar penternak ayam tempatan hari ini