Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap krisis dalaman Pas Kedah bukan masalah besar dan berpendapat ia cuma berita pilihan raya.

Ahli Parlimen Marang itu yakin masalah yang melanda Pas Kedah itu boleh diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kita bukan macam Umno yang perlukan Dr Mahathir untuk selesaikan masalah dalaman parti," katanya kepada media selepas merasmikan Treler Negara Berkebajikan di ibu pejabat Pas, hari ini.

Ketika ditanya mengenai sama ada Azizan akan dicalonkan dalam PRU13, Abdul Hadi menjelaskan Menteri Besar Kedah itu masih disenaraikan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika mengulas perkara sama menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kegagalan Azizan menerajui Pas Kedah.

Mustafa juga menegaskan setakat ini Azizan masih kekal sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah dan tiada sebarang perubahan.