KUALA LUMPUR:Ketika Malaysia masih berdepan krisis kesihatan setiap hari dengan mencatat peningkatan kes COVID-19, negara ini tidak terlepas daripada dua lagi krisis yang kian meruncing iaitu krisis ekonomi dan politik.

Demikian jelas Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, yang menekankan bahawa yang lebih malang adalah rakyat kerana terus terkesan ketika ini.

"Krisis kesihatan yang kita tahu iaitu pandemik COVID-19 memberi implikasi kepada negara dari sudut ekonominya yang memunculkan krisis ekonomi pula.

"Lebih malang, ahli politik tidak putus-putus berantakan antara satu sama lain. Mereka bukan sahaja berseteru antara parti politik, malah secara dalaman sesebuah parti politik itu juga terzahir kemelut antara mereka juga.

"Terkini, kemelut politik di Perak yang mengakibatkan Menteri Besar Perak ketika itu terpaksa meletak jawatan kerana sudah tidak memiliki kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri," katanya dipetik sebagai kolumnis Sinar Harian.

Ahli politik ujarnya, perlu menumpukan kepada pembangunan negara, menzahirkan idea bagi memantapkan ekonomi serta meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tambahnya lagi, rakyat dilihat sudah jelak dengan mainan politik pelbagai pihak. Malah tegasnya, politik perlu berpada-pada agar tidak menghalang pembangunan negara.

"Saya tidak menujukan saranan ini kepada parti politik tertentu atau blok yang mana satu, tetapi kepada semua yang terlibat termasuklah penyokong parti masing-masing.

"Mungkin sudah sampai masanya di Malaysia, kita menekan butang 'reset' bagi memformatkan kembali negara kita. Dengan berpolitik yang berpada, Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bermaya, ilmuwan yang berwacana, pasti akan dapat membantu pembangunan negara," katanya lagi.

Isu peluang pekerjaan, rumah mampu milik juga jelasnya perlu diberikan tumpuan bagi meringankan beban rakyat.

Malah sudah tiba masanya, ahli legislatif hanya menumpukan perhatian penuh kepada penggubalan undang-undang sahaja. Manakala keperluan rakyat diberi perhatian oleh penjawat utama awam atau pihak berkuasa tempatan.

"Dengan cara itu, penggubal undang-undang akan lebih fokus menghadiri persidangan dan berbahas dengan fakta yang benar.

"Saya bukanlah menidakkan sumbangan politikus sekalian, tetapi kita perlu menganjak minda dan berinovasi dengan upaya untuk membangun negara bingkas berdiri dan keluar daripada krisis kesihatan ekonomi dan politik seperti yang dinyatakan di atas.

"Saya menggesa semua pihak agar dapat bergerak seiring membangunkan Malaysia. Adaptasi demokrasi ala Barat sebagaimana diamalkan kini pada pandangan saya mungkin tidak sesuai dengan watan kita ini," katanya lagi.

Sebaliknya modifikasi yang sesuai perlu dilakukan menurut undang-undang agar sistem politik negara dapat dirancakkan, demi pembangunan negara, bukan sekadar memegang tampuk kuasa semata-mata.