MALAYSIA
Krisis kejatuhan ringgit: “Saya takut tapi saya ada cara macam doktor” - Tun Mahathir

Dr Mahathir, dalam siaran 'podcast' khas sempena ulang tahun ke-100 mengakui beliau menggunakan pendekatan seperti seorang doktor yang perlu membuat keputusan penting walaupun tiada jaminan penyelesaian sempurna.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan pendekatan berani dan strategik beliau dalam menangani krisis kejatuhan mata wang Malaysia pada akhir 1990-an dan mengakui setiap keputusan yang diambil mempunyai risiko tersendiri.
Ringkasan AI
- Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pendekatan berani dan strategik beliau dalam menangani krisis kejatuhan mata wang Malaysia pada akhir 1990-an, termasuk menetapkan kadar tukaran tetap walaupun mendapat tentangan antarabangsa.
- Beliau mengakui setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan harian dengan pakar kewangan dan perniagaan, serta mengambil kira risiko dan kelebihan seperti tabung wang negara dan pelaburan dalam dolar Amerika.
- Sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan, beliau menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu perbankan dan kewangan, termasuk menyelesaikan pinjaman tidak berbayar dan hutang akibat krisis.
"Takut... tapi saya punya cara macam doktor juga lah. Bila kita dapat satu masalah tak ada ubat yang 100 peratus mujarab. Kita bagi ubat pun kadang-kadang dia berjaya kadang-kadang tidak.
"Jadi apa juga keputusan kita buat ada pro and cons, mungkin dapat kebaikan mungkin juga dapat masalah. Jadi bila saya berhadapan dengan situasi ini, saya ambil masa.
"Saya consult, saya tanya orang yang cekap dalam bidang finance, dalam bidang business dan sebagainya... saya tanya mereka dan saya bincang hari-hari," katanya.
Jelas Dr Mahathir lagi, salah satu langkah utama yang diambil adalah menetapkan kadar tukaran mata wang (exchange rate) secara tetap, walaupun mendapat tentangan hebat pelbagai pihak termasuk komuniti antarabangsa.
Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan kerana memiliki tabung wang yang besar serta pelaburan dalam mata wang asing, khususnya dolar Amerika, yang membolehkan negara bertindak dengan lebih yakin.
"Tetapi saya mempunyai cukup maklumat... umpamanya banyak orang tak tahu Malaysia ini mempunyai tabung wang yang banyak, besar dan kita mempunyai duit Amerika dalam negara... ataupun kita dah invest, boleh dapat balik duit Amerika.
"Jadi kerana kita ada tabung itu, kita berani buat tindakan... kalau jadi sesuatu masalah, kita boleh biayai daripada tabung kita," katanya.
Sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan, beliau ketika itu turut menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu perbankan dan kewangan, termasuk menyelesaikan pinjaman tidak berbayar (non-performing loans) serta hutang akibat kejatuhan mata wang.
Langkah-langkah yang diambil Malaysia semasa krisis kewangan pada tahun 1997-1998 dilihat sebagai antara tindakan paling berani dan berkesan dalam sejarah ekonomi negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami