Kerajaan Malaysia perlu segera menubuhkan sebuah pasukan rundingan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara dan usaha untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sewajarnya penubuhan pasukan itu melibatkan badan luar yang berkapasiti menguruskan perundingan di antara kedua-dua negara bagi memastikan ia berlangsung secara baik.

Pada masa sama, kerajaan diingatkan untuk berhati-hati dalam menguruskan hal tersebut supaya sebarang tindakan tidak menjurus kepada peningkatan ketegangan di antara Putrajaya dengan Pyongyang.

“Kerajaan perlu mengawal sebaiknya serta perlu bijaksana dalam berurusan dengan Korea Utara.

“Elok teliti cara sebaik mungkin, mungkin ada langkah-langkah segera yang patut diambil untuk cari jalan bagaimana kemelut pertembungan dua pihak ini dapat diredakan; jangan ditingkatkan lagi ketegangan.

“Adakah pihak-pihak lain yang boleh membantu kita, badan antarabangsa seperti Majlis Keselamatan PBB atau pihak-pihak yang boleh berperanan untuk itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di sini, hari ini.

Beliau bimbang sebarang kesilapan langkah akan meningkatkan krisis dan seterusnya mendedahkan Malaysia kepada ancaman keselamatan daripada negara komunis itu.

“Korea Utara kita tahu cara mereka menguruskan hubungan antarabangsa, kadang-kadang tidak mengikut konvensyen biasa.

“Jadi kita bimbang kalau kita tidak berjaga-jaga dan tidak berhati-hati atau terlepas pandang, ia berlaku, tidak boleh undur balik, maka implikasinya adalah amat besar,” jelasnya.

Semalam, Pyongyang mengeluarkan arahan sekatan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara daripada meninggalkan negara itu.

Ia tindakan susulan terhadap langkah Malaysia mengusir duta besarnya Kang Chol kerana gagal memohon maaf atas kebiadaban kenyataannya berhubung cara pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Sejumlah 11 rakyat Malaysia terkandas di Korea Utara yang mana empat daripadanya merupakan pegawai dan kakitangan kedutaan bersama lima ahli keluarga mereka, sementara dua lagi merupakan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).