KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM) mencadangkan supaya penelitian dibuat untuk menyemak keseluruhan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memastikan undang-undang sedia ada kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran rasuah semasa.
Pengerusinya, Azli Yusof berkata, cadangan itu merupakan antara fokus utama yang dipersetujui dalam mesyuarat pertama KRPPM bagi tahun 2026 susulan krisis terkini yang melibatkan institusi berkenaan.
Advertisement
Menurut beliau, isu yang timbul tidak boleh dianggap sekadar persepsi, sebaliknya perlu ditangani secara serius kerana berpotensi menggugat kestabilan negara, menjejaskan keyakinan pelabur serta memberi kesan terhadap kebebasan institusi.
“KRPPM ini mencadangkan penelitian dibuat untuk menyemak keseluruhan Akta SPRM bagi memastikan undang-undang adalah relevan dengan cabaran kes rasuah semasa yang berlaku.
“Insiden yang berlaku perlu dilihat sebagai peluang untuk melaksanakan reformasi SPRM secara menyeluruh dan berasaskan institusi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azli berkata, antara pindaan yang dicadangkan melibatkan Seksyen 5, 13, 14 dan 15 Akta SPRM 2009, dengan tumpuan kepada penstrukturan semula mekanisme pemantauan serta reformasi proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya.
Beliau menjelaskan, KRPPM mencadangkan penubuhan Independent Oversight Board (IOB) yang diperkukuh dengan sembilan ahli, di mana pelantikan mereka ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan disahkan melalui undi majoriti di Dewan Rakyat sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa penglibatan Perdana Menteri.
Selain itu, kuasa pemilihan Ketua Pesuruhjaya turut dicadangkan dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada IOB, dengan tempoh maksimum perkhidmatan dihadkan kepada enam tahun serta mekanisme penyingkiran melalui tribunal khas.
Dalam masa sama, beliau berkata, Jawatankuasa Parlimen sedia ada perlu diperkasa sebagai mekanisme akauntabiliti tetap yang bebas daripada kawalan badan Eksekutif, dengan laporan dikemukakan terus kepada Dewan Rakyat.
Terdahulu, KRPPM turut mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tuduhan terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Sehubungan itu, Azli memohon jaminan agar sebarang siasatan dilaksanakan secara telus dan terbuka serta mencadangkan penglibatan wakil masyarakat sivil dalam komposisi anggota komiti siasatan bagi menjamin kepercayaan rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu pelan halatuju reformasi komprehensif perlu dirangka melalui inkuiri Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dan disiapkan sebelum 31 Disember 2026, termasuk proses konsultasi awam serta cadangan draf pindaan kepada Akta SPRM 2009.
“Reformasi ini harus dilaksanakan secara tuntas agar institusi ini bebas daripada tanggapan bahawa ia dicengkam oleh pengaruh Eksekutif, memastikan akauntabiliti langsung kepada Parlimen serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan institusi anti-rasuah negara,” katanya.
KRPPM akan menyerahkan memorandum reformasi SPRM secara rasmi kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, dan mendesak agar cadangan berkenaan diberi keutamaan serta diterjemahkan melalui tindakan segera.