KUALA LUMPUR:Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini mengumumkan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Penambahbaikan Penjara dan Pusat Tahanan.

Menurut beliau, penubuhan kumpulan berkenaan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik berkaitan prasarana penjara dan sistem tahanan negara.

"Manakala, mesyuarat pertama bagi tujuan penubuhan KPPRM ini telah berlangsung pada 9 Disember 2020 bersama 5 Ahli Dewan Rakyat dan 2 Ahli Dewan Negara, pihak-pihak berkepentingan dan juga Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA), Universiti Malaya selaku Sekretariat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azalina berkata, penubuhan KRPPM ini tepat pada masanya memandangkan kadar yang jangkitan wabak pandemik global COVID-19 di penjara yang tinggi dengan lebih 7,000 kes dicatatkan, tidak termasuk 560 kes yang dilaporkan menjangkiti kakitangan penjara.

"Selain daripada itu, jumlah banduan di dalam penjara yang melebihi kapasiti penjara juga amat membimbangkan dan memerlukan perhatian dan tindakan segera untuk diselesaikan.

"KPPRM menyambut baik cadangan Senator Tan Sri Dr Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara untuk menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Bersama yang akan terdiri daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara bersama demi kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya," jelasnya.

Tambahnya, penubuhan Jawatankuasa Rundingan Bersama yang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 79 (Dewan Negara) ini merupakan julung-julung kalinya dalam sejarah institusi Parlimen Malaysia.

KRPPM merupakan badan tidak formal yang didaftarkan di bawah Parlimen Malaysia, sebagai satu platform kepada semua ahli parlimen tidak kira Dewan Rakyat atau Senator daripada pelbagai parti politik, untuk membincangkan dasar awam bersama dengan rakyat daripada pelbagai kumpulan.

Setiap cadangan yang dikemukakan melalui KRPPM ini akan diangkat Parlimen Malaysia dan Jawatankuasa Pilihan Khas.

Platform seperti ini telah membuka peluang kepada rakyat yang mempunyai pelbagai kepakaran, buah fikiran dan cadangan untuk bersama-sama terlibat dalam proses membuat dasar bersama wakil rakyat.