TAIPING: Kementerian Sumber Manusia bercadang menaikkan denda maksimum daripada RM50,000 kepada RM500,000 terhadap majikan yang mengabaikan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata cadangan menaikkan kadar denda di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) itu masih di peringkat cadangan.

Katanya, ia akan dibentangkan di Parlimen untuk perbincangan secara menyeluruh, dalam masa terdekat.

"Denda RM50,000 bagi sebuah syarikat yang besar tidak ada makna kerana mereka boleh bayar bila-bila masa. Ia tidak memberi pengajaran kepada majikan untuk memberi perlindungan kepada pekerja.

"Sebagai contoh, ada syarikat yang dalam pandemik ini mendapat keuntungan lebih RM1 bilion, dalam tahun 2020 sahaja ketika orang lain bergelut dengan COVID-19, syarikat tertentu ini mendapat keuntungan lebih sehingga lebih RM1 bilion.

"Jadi bagi mereka, kalau denda RM50,000, RM25,000 itu tiada apa-apa pada mereka. Sebab itu kita mahu buat cadangan supaya denda dinaikkan sehingga RM500,000.

"Kita harap dengan menaikkan kadar denda, para majikan akan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Akta 446 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di Taiping, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta majikan dan pekerja supaya terus patuh pada akta dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Sementara itu, dua premis membabitkan sektor pembuatan barangan plastik dan seramik diperiksa dalam operasi berkenaan.

Syarikat terbabit dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat permohonan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Selain itu, katanya, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan kompaun kerana kesalahan di bawah Peraturan 16 Akta 342 iaitu gagal mengimbas kod MySejahtera.

"Ada juga beberapa kesalahan lain turut diambil tindakan di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan dan Sosial Pekerja (PERKESO)," katanya.