KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersetuju agar majikan memberikan cuti kepada pekerjanya untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata pemberian cuti oleh majikan dapat meyakinkan lagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksinasi kerana masih terdapat segelintir yang risau untuk menerima suntikan tersebut.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada majikan untuk memberikan cuti kepada pekerja dan kerajaan tidak dapat memberikan cuti khas kerana bukan semua orang mengambil vaksin pada hari yang sama," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Functional Adaptive Clothing di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata beberapa syor akan dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bersama KSM, antaranya menyarankan atau mewajibkan majikan memberi cuti kepada pekerja untuk mendapatkan vaksin mereka.

Sementara itu, mengenai Perkeso Functional Adaptive Clothing, Saravanan berkata sebanyak 1,000 pakaian yang direka khas dengan fungsi fleksibel bagi memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan diedarkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) OKU di seluruh negara sebelum dikomersialkan.

Katanya, ia mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan korporat yang menyumbang 250 pakaian adaptif kepada OKU disalurkan melalui NGO terpilih.

Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak mengambil inisiatif berkenaan dengan menghasilkan pakaian tradisional Malaysia yang dimulakan dengan Baju Kurung dan Baju Melayu dengan kerjasama pereka fesyen terkenal Nurita Harith.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan majlis pelancaran tersebut.

-- BERNAMA