MALAYSIA
KSN ucap tahniah atas kejayaan Anwar runding gencatan senjata Thailand-Kemboja

Menurut Shamsul Azri, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah memainkan peranan penting dalam semangat muafakat, rundingan damai, prinsip kemanusian dan menjamin keselamatan serantau. - Foto FB Shamsul Azri bin Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan besar beliau dalam menjayakan mesyuarat khas rundingan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand di Putrajaya semalam.
Ringkasan AI
- Malaysia berjaya fasilitasi gencatan senjata Thailand-Kemboja: Mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh PM Anwar Ibrahim membawa kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
- Pengiktirafan terhadap kepimpinan serantau Malaysia: Ketua Setiausaha Negara dan pemimpin ASEAN menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam menjamin keamanan serantau.
- Libat urus antarabangsa dalam usaha damai: Mesyuarat turut disertai oleh wakil Amerika Syarikat dan China, membuktikan sokongan luas terhadap pendekatan diplomatik Malaysia menangani konflik sempadan.
"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah memainkan peranan penting dalam semangat muafakat, rundingan damai, prinsip kemanusian dan menjamin keselamatan serantau," katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.
Turut hadir Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.
AS merupakan penganjur bersama mesyuarat itu manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.
Kedua-dua negara berjiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum ditandakan sepenuhnya.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Konflik terbaharu tercetus pada 24 Julai lepas dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di kawasan sempadan di utara Kemboja yang mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami