Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) beralih kepada penggunaan teknologi moden dalam mempertingkatkan perkhidmatannya apabila terkini menggunakan kamera khas untuk memantau penyelenggaraan landasan keretapi.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata penggunaan sistem berteknologi tinggi pemantauan dan selenggara atau dikenali sebagai 'Catenary Eye System' iaitu sejenis kamera khas yang diletak di atas kenderaan penyelenggaraan boleh membantu segera KTMB mengenal pasti landasan yang bermasalah.

"Dengan teknologi ini, dalam tempoh sejam kita boleh memeriksa landasan sejauh 60 hingga 80 kilometer (km) berbanding hanya satu atau dua kilometer secara manual dalam satu malam," katanya kepada pemberita pada majlis penerimaan sistem itu yang turut disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, di Stesen KTMB di sini hari ini.

Beliau berkata teknologi dari Jepun itu bernilai RM24.7 juta telah mula digunakan oleh KTMB sejak Januari lalu mampu memeriksa landasan keretapi dari Gemas sehingga Padang Besar dalam jangka masa yang singkat.

"KTMB juga merancang untuk menambah enam lagi unit daripada Catenary Eye System bagi meningkatkan penyelenggaraan dan operasi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang melintasi landasan sejauh kira-kira 1,000 km," katanya.

Sementara itu, Aziz berkata kerajaan akan membantu KTMB mempertingkatkan perkhidmatannya kepada rakyat melalui penggunaan teknologi serta peralatan yang lebih moden dan canggih.

Beliau berkata contohnya pengunaan sistem teknologi kamera itu yang buat pertama kalinya digunakan di negara ini dapat mengurangkan tempoh dan kos penyelenggaraan perkhidmatan keretapi.

Catenary Eye System adalah projek di bawah Program Kolabrasi Industri (ICP) atau program offset dengan kerjasama Meidensha-Meiden Malaysia Joint Venture Sdn Bhd (MMJV) yang diuruskan oleh Agensi Depositori Teknologi (TDA).

TDA merupakan entiti di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk mengawal selia program ICP, termasuk memastikan garis panduan pelaksanaanya dipatuhi oleh setiap syarikat.

-- BERNAMA