Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan mempertahankan jawatannya selaku Ketua Bahagian pada mesyuarat bahagian berkenaan 28 September depan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga akan membuat keputusan dan mengumumkan samada untuk bertanding lain-lain jawatan di peringkat pusat pada tarikh yang sama.

Katanya, mengikut peraturan baru parti, semua ahli Umno layak menawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan dan beliau akan mengumumkannya pada tarikh tersebut.

"Saya diminta untuk terus menerajui Umno bahagian ini dan terserahlah kepada ahli Umno bahagian itu (selepas ini) untuk menentukan siapa pemimpin yang paling layak memikul tanggungjawab berkenaan kerana ramai yang layak dipilih,"

Namun, beliau dalam masa yang sama mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Keputusan itu dibuat untuk memberi peluang kepada generasi muda untuk memberi khidmat di parlimen Gua Musang.

“Saya rasa sudah sampai masa saya berundur untuk beri peluang kepada pihak yang lain pula menyampaikan khidmat mereka,” kata Tengku Razaleigh.

“Barangkali generasi muda, generasi baru, hendakkan perubahan, kalau bukan perubahan angin pun, perubahan orang yang boleh menyampaikan khidmat mereka walaupun orang di sini sudah biasa dengan saya.”

Beliau yang tidak mahu mengulas panjang mengenai kedudukannya meminta semua pihak menunggu 28 September depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bermesra dengan penduduk orang asli, di Kampung Lambok, di sini pada Khamis.

Beliau turut membayangkan akan bersara dari arena politik dan memaklumkan Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan pilihan raya terakhir baginya.

Katanya beliau sudah 50 tahun menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat di kawasan Gua Musang sebagai wakil rakyat dan ketua parti dalam politik.

Terdahulu beliau mengadakan majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen Gua Musang bersama pemimpin tempatan dan masyarakat orang asli.

Hadir sama ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani, ADUN Galas, Ab Aziz Yusof, Bendahari Umno Bahagian, Zamzani Harun dan naib presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim.