Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak akan menjejaskan peranan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC) Mohamad Onn Abd Aziz.

Beliau berkata IPCMC lebih memainkan peranan dalam kawalan tatatertib anggota polis dengan pertimbangan salah laku yang diterima secara berasas.

Menurutnya, EIAC yang akan digantikan dengan IPCMC nanti, mempunyai pengalaman luas dalam membezakan aduan sama ada ia fitnah atau sebaliknya.

"Kami tidak ambil alih (peranan JIPS) tetapi diringankan (tugas) dan polis boleh menumpukan kepada aktiviti kepolisan.

"IPCMC juga tidak mengambil alih apa-apa kuasa polis sendiri kerana mereka mempunyai kuasa, pengesahan kuasa dan lantikan," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC), malam tadi.

Beliau turut memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang penindasan dalam membuat keputusan terhadap anggota polis yang terbabit dengan salah laku dan akan mengambil kira keterangan daripada pihak terbabit.

Mohamad Onn berkata penubuhan IPCMC adalah untuk meningkatkan integriti dan keupayaan anggota polis sekali gus mengubah persepsi orang awam terhadap pasukan itu.

Katanya, IPCMC akan mengawal selia dan memantau kira-kira 130,000 anggota polis seluruh negara.

Sebanyak 2,419 aduan salah laku melibatkan anggota polis diterima dari 2011 hingga tahun ini dengan 727 kertas siasatan dibuka, jelasnya.

Rang Undang-Undang IPCMC dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai lepas dan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Oktober ini.

-- BERNAMA