Skip to main content

Malaysia

Kuasa menteri dalam Akta Tabung Haji wajar dikaji semula - Dr Nungsari

Dr Nungsari Ahmad Radhi
Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata keputusan yang memberi kesan besar kepada Tabung Haji tidak sewajarnya bergantung kepada kuasa budi bicara seorang menteri semata-mata. - Foto Khazanah
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kuasa menteri yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 disifatkan terlalu luas dan wajar dikaji semula bagi memperkukuh tadbir urus serta mekanisme semak dan imbang dalam pengurusan institusi itu.

Pengerusi Khazanah Research Institute, Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata keputusan yang memberi kesan besar kepada Tabung Haji tidak sewajarnya bergantung kepada kuasa budi bicara seorang menteri semata-mata.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar keputusan penting dibuat di peringkat kerajaan menerusi pertimbangan Jemaah Menteri bagi memperkukuh tadbir urus serta mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan.

"Akta Tabung Haji memberi kuasa yang terlalu luas kepada menteri. Antara reformasi yang perlu dipertimbangkan ialah mengetatkan semula peruntukan akta itu supaya keputusan penting tidak lagi bergantung kepada seorang individu.

"Kita tidak semestinya perlu membawa semua perkara ke Parlimen, namun keputusan yang mempunyai implikasi besar boleh diputuskan di peringkat kerajaan menerusi pertimbangan Jemaah Menteri. Dengan itu, keputusan berkenaan menjadi keputusan kerajaan, bukannya keputusan seorang Menteri," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis. 

Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji sebelum ini mendedahkan Menteri yang bertanggungjawab ke atas institusi berkenaan mempunyai kuasa yang amat luas, merangkumi hampir keseluruhan aspek tadbir urus, pengurusan dan operasi Tabung Haji. 

Sementara itu, Nungsari menyaran TH untuk kembali memberi tumpuan kepada fungsi terasnya sebagai institusi yang mengurus simpanan pendeposit dan operasi haji, berbanding mengejar keuntungan seperti institusi pengurusan dana lain. 

Kata beliau, TH mempunyai kedudukan yang 'unik' kerana melaksanakan tiga fungsi serentak, iaitu menerima simpanan pendeposit, mengurus operasi haji serta mengurus pelaburan dana. 

Beliau berkata, dapatan RCI mengenai TH turut memberi peringatan supaya institusi itu kembali kepada mandat asalnya sebagai institusi ekonomi ummah yang mengutamakan kepentingan pendeposit dan urusan haji.

Menurutnya, TH tidak seharusnya berlumba-lumba menjadi institusi yang terlalu berorientasikan keuntungan atau menyaingi peranan institusi pelaburan lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

"Tabung Haji diwujudkan untuk mengumpul simpanan umat Islam dan menguruskan ibadah haji dengan baik. Itu sepatutnya menjadi keutamaan.

"Desakan untuk sentiasa mencatat keuntungan atau menawarkan dividen yang tinggi tidak seharusnya mengatasi mandat asalnya kerana sudah terdapat institusi lain seperti PNB dan KWSP yang memang berperanan sebagai pengurus dana pelaburan," katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement