KUALA LUMPUR: Kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu tindakan yang melangkaui atau mengatasi undang-undang, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kerangka undang-undang tertinggi negara itu sendiri.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, naratif yang cuba menggambarkan pelaksanaan prerogatif Perlembagaan itu sebagai tindakan "mengatasi undang-undang" adalah tersasar dan tidak tepat dari sudut perundangan.
Jelas beliau, walaupun prinsip kedaulatan undang-undang menetapkan tiada mana-mana pihak berada di atas undang-undang, semua pihak pada masa sama tertakluk sepenuhnya kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
"Kuasa pengampunan bukanlah kuasa di luar undang-undang. Ia merupakan kuasa yang diperuntukkan secara nyata oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
"Maka, tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai tindakan 'mengatasi undang-undang'," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Isu pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan kes SRC International Sdn Bhd sebelum ini berulang kali mencetuskan polarisasi politik dan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat sivil serta penganalisis undang-undang.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan 50 peratus ke atas hukuman penjara 12 tahun yang dihadapi Najib kepada enam tahun, selain memotong jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan terbabit sebelum ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak yang mempersoalkan mesej kerajaan terhadap tatakelola dan iltizam pencegahan rasuah.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.
Ketetapan terbaharu berkaitan pelaksanaan tahanan rumah itu kembali mengundang kegelisahan beberapa rakan politik dan kumpulan reformasi yang mendakwa kelonggaran sedemikian berpotensi menjejaskan persepsi awam terhadap doktrin kesamarataan di sisi undang-undang.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menjelaskan, keputusan institusi kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua instrumen yang berbeza dan mempunyai pengkhususan fungsi masing-masing.
Menurut beliau, mahkamah bertindak menjalankan fungsi kehakiman untuk menentukan pensabitan kesalahan dan menjatuhkan hukuman, manakala Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pula menyediakan jalan keluar Perlembagaan bagi pengampunan, tunda hukuman mahupun kelegaan hukuman.
"Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang," jelasnya.
Sehubungan itu, Azalina menegaskan, setiap institusi, termasuk Lembaga Pengampunan, Peguam Negara serta menteri berkaitan perlu dilihat bertindak mengikut batas kuasa Perkara 42 dan tatacara perundangan yang sah, bukannya dihakimi menerusi sentimen atau tafsiran politik.
Beliau mengingatkan bahawa kerajaan terdahulu telah memperincikan di Parlimen bahawa urusan Lembaga Pengampunan sentiasa mematuhi kerangka Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Pendirian saya sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia adalah jelas: hormati keputusan mahkamah, hormati Perlembagaan dan hormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
"Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik.
"Tiada siapa mengatasi undang-undang. Dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan," kata Azalina.