Skip to main content

Malaysia

Kuasai TTS, benteng pertahanan diri anggota tentera

BALING, 11 Jul -- Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kolonel Nordin Abu, menyampaikan Penuntut Keseluruhan Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/1/26 kepada Leftenan Muda Muhammad Fadli Jamalludin, 24, pada Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2026 di Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, di sini hari ini.  Pegawai yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu berkata beliau gagal menamatkan latihan Kursus Asas Komando Siri 3/2024, namun pengalaman berkenaan
Kolonel Nordin Abu (kiri) menyampaikan anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/1/26 kepada Leftenan Muda Muhammad Fadli Jamalludin, 24, pada Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2026 di Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil. - Gambar Bernama
Advertisement

BALING: Teknik mempertahankan diri tanpa menggunakan sebarang senjata atau lebih dikenali Tempur Tanpa Senjata (TTS) menjadi benteng pertahanan diri bagi setiap anggota tentera.

Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK), Kol Nordin Abu berkata, TTS merupakan antara modul latihan yang perlu dilalui setiap anggota sebagai persediaan berdepan dengan sebarang situasi getir melibatkan nyawa.

"TTS ini sebagai pertahanan diri setiap anggota, maksudnya selain menggunakan senjata, anggota perlu menguasai TTS terlebih dahulu.

"Setiap anggota mengambil masa selama hampir setahun untuk kita latih dan memahirkan mereka dengan penguasaan teknik serta taktik pertahanan diri," katanya selepas Majlis Penutup Kursus Asas Komando siri AK/1/2026 di Universiti Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) Kuala Ketil, di sini.

Beliau berkata, TTS ialah modul latihan utama dalam ketenteraan yang dapat membina keyakinan diri untuk bertempur tanpa menggunakan senjata bagi melumpuhkan musuh.

"Kalau dalam komando, kita panggil Armed Combat, namun latihannya berbeza dengan TTS. Ia lebih kepada mempertahankan diri dan membunuh (musuh), dua dalam satu.

"Sebaliknya TTS bertujuan mempertahankan diri sendiri daripada ancaman dan setiap orang perlu ada asas kepada pertahanan diri," katanya.

Sementara itu, Nordin berkata kira-kira 50,000 pengunjung hadir memeriahkan Program Tentera Bersama Rakyat bersempena dengan Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/26 yang diadakan selama lima hari bermula 7 Julai lepas.

"Program ini mendekatkan tentera kepada rakyat sekali gus memberi pendedahan dan menarik minat generasi muda untuk menyertai pasukan tentera.

"Pemilihan lokasi iaitu di UniSHAMS ini dilihat strategik kerana institusi ini yang berfungsi sebagai centre of knowledge and attitude yang kebetulan berada di tengah-tengah antara beberapa daerah berdekatan di negeri ini," katanya.

Program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) itu memperlihatkan pelbagai aset ketenteraan selain demonstrasi termasuk Demonstrasi Menyelamat Tawanan Perang, Kemahiran Mengendali Payung Terjun, Kombat Gerak Khas, Sniper,  Insertion and Extraction, serta kemahiran operasi tempur perairan.

Turut diadakan, acara pemakaian Beret Hijau membabitkan lima pegawai dan 33 anggota Lain-Lain Pangkat yang mengikuti Kursus Asas Komando siri AK 1/26.

Pelaksanaan Program CIMIC di UniSHAMS merupakan sebahagian daripada usaha mendokong Teras Keempat Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan CIMIC.

Pendekatan itu memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat melalui kerjasama strategik yang menyokong kesejahteraan rakyat serta menyemarakkan semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement