NATIONAL
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dipindah 50 meter dari tapak asal - Dr Zaliha

Menurut Dr Zaliha, persetujuan tersebut dicapai hasil rundingan pelbagai pihak termasuk bersama pihak kuil. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memindahkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kira-kira 50 meter dari tapak asal, dengan keluasan 4,000 kaki persegi iaitu setara dengan saiz kuil sedia ada.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, persetujuan tersebut dicapai hasil rundingan pelbagai pihak termasuk bersama pihak kuil.
Jelas beliau, tapak tersebut merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala
Lumpur.
"Pembangunan tapak baharu ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuat kuasa. Pihak kuil juga telah bersetuju dengan perkara ini.
"Kerajaan juga mengulangi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan ke atas struktur kuil sedia ada. Kuil tersebut akan terus dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa.
Dr Zaliha berkata, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terus dihormati, di samping memastikan kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara.
Katanya, setiap keputusan yang diambil adalah berpaksikan semangat muhibah serta keharmonian masyarakat majmuk.
“Setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Dr Zaliha berkata kerajaan mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada, bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, kerajaan menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.
“Polemik ini harus dihentikan segera.
“Marilah kita semua terus memelihara keharmonian dan keamanan yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara.
“Kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama, dalam masa yang sama memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama,” tambah Dr Zaliha.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami