KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan kerajaan dan pergolakan politik dalam negara akan memberi ruang kepada Kumpulan Sulu untuk 'menyerang' dan merampas lebih banyak aset negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman.

Beliau berkata tindakan kumpulan itu yang mengganggu gugat harta negara, bertujuan menakutkan rakyat dan merompak aset negara.

"Mereka melihat kalau Malaysia tidak bersatu, ada pergolakan politik dan tiada kerajaan yang stabil mereka akan serang kita. Itu sebab kita perlu terima titah Yang di-Pertuan Agong, tunjukkan kita akan mentadbir dan membawa kebaikan untuk negara.

"Kalau kita tidak stabil sebagai kerajaan, mereka akan mengancam aset negara. Ingat bukan sahaja Petronas, banyak lagi aset kita yang mereka tengah lihat," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, memetik dokumentari terbitan sebuah agensi media antarabangsa mengenai tuntutan Kumpulan Sulu, Azalina berkata kumpulan itu mengaku mereka rakyat Filipina.

Tuntutan Waris Sulu | Kerajaan sentiasa pertahankan aset di luar negara

Azalina berkata dokumentari itu mengenai insiden di Lahad Datu, Sabah dan mengaitkannya dengan arbitrasi komersial yang dikemukakan lapan individu (penuntut).

"Dalam dokumentari tersebut, dia (ahli kumpulan) sendiri mengaku mereka adalah rakyat Filipina. Ini adalah isu kedaulatan yang sepatutnya kita berlawan di mahkamah tentang kedaulatan, bukannya di mahkamah komersial (arbitrasi)," katanya.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Malaysia kemudiannya telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada, untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.

-- BERNAMA