KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM685 juta bagi tujuan pendidikan termasuk pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi sejak 1967 sehingga tahun lalu.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu, seramai 43,665 pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi di dalam negara dan luar negara telah menerima bantuan berkenaan.

“Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan tahun lalu membantu lebih ramai anak-anak Sabah yang memerlukan tajaan pendidikan supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya melihat mereka sebagai harapan masa hadapan, aset besar negeri dan negara serta pewaris kepada kepimpinan negara. Apabila anda tamat pengajian, Sabah dan negara memerlukan penyertaan anda semua untuk membawa negeri dan negara ke arah kemajuan," katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Putrajaya International Convention Centre pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya memastikan anak-anak Sabah mampu menjadi pemimpin pelapis yang serba boleh dan berdaya saing.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah menjelaskan, kerajaan negeri Sabah meluluskan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang sedang dalam proses dilaksanakan bernilai RM33.4 bilion yang bakal menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan.