KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis kuota jemaah haji negara ini akan meningkat, susulan langkah Arab Saudi yang sedang merancang untuk meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, peningkatan itu akan membolehkan masa menunggu untuk menunaikan haji dapat dipendekkan.

"Apapun, usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji ini tidak boleh lari daripada keputusan kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia.

"Pada masa yang sama, kerajaan Arab Saudi di bawah perancangan ekonomi Visi 2030 sedang merancang untuk meningkatkan jumlah jemaah haji kepada lima juta orang menjelang 2030," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) semasa sesi Pertanyaan Menteri-menteri, mengenai mekanisme yang dilaksanakan kerajaan bagi memendekkan tempoh giliran menunggu jemaah haji dan perancangan bagi mempercepatkan giliran jemaah yang berusia atau wargaemas.

Tambah Zulkifli, kuota rasmi negara pada tahun ini adalah seramai 31,600 jemaah.

Kerajaan katanya, telah mengambil inisiatif dengan membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah tersebut berdasarkan perangkaan terkini negara.

"Kita juga memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan Arab Saudi,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai sembilan orang bakal haji kategori B40 dan 50 bakal haji kategori M40 telah membuat bayaran penuh manakala 221 orang lagi telah bersetuju untuk menerima sebahagian sahaja dari bantuan kewangan haji.

"Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji," katanya. - Sinar Harian