KUALA LUMPUR: Sistem kuota untuk etnik Melayu dan kaum bumiputera dalam pendidikan adalah sebahagian daripada tindakan afirmatif negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata tindakan afirmatif ini juga wujud di banyak negara dan ia penting bagi memastikan demografik sesebuah negara itu diwakili pada segenap peringkat.

Teo berkata Malaysia yang tidak terkecuali didapati melaksanakannya dengan adil, yakni tidak sesekali mengetepikan peluang kelompok bukan Melayu dan bumiputera, antaranya dapat dilihat kepada pelbagai pilihan yang tersedia dalam bidang pendidikan negara untuk anak bangsa memajukan diri termasuk Skim Pinjaman Pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Sistem kuota dalam bidang pendidikan dan lain-lain ini sebenarnya adalah tindakan positif. Ini kerana selain dapat membantu kelompok yang ketinggalan, ia juga merupakan pemangkin kepada perpaduan negara dan integrasi nasional.

"Ini berlaku setelah defisit sosial, khususnya pada jurang antara etnisiti, kelas sosial dan kawasan bandar-luar bandar, dirapatkan melalui tindakan afirmatif negara, khususnya menerusi sistem kuota," kata Teo yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Negara (MASA) ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tindakan afirmatif di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan itu boleh dikatakan jaminan tetap kepada etnik Melayu dan kaum bumiputera dalam bidang pendidikan negara bahawa mereka mempunyai kedudukan istimewa, antaranya melalui sistem kuota ini.

"Sebagai antara bahagian penting dalam tindakan afirmatif negara, kuota Melayu dan bumiputera itu adalah dasar bagi memastikan penglibatan pelajar dari dua kelompok ini yang didapati ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan pelajar dari etnik lain, tetap ada untuk mereka mempertingkat diri, agar tidak terus ketinggalan," katanya.

Beliau berkata oleh itu, peluang tersebut perlu digunakan dengan baik oleh golongan berkenaan dan perlu dimanfaatkan untuk terus berjaya dalam kerjaya sebagai profesional, antaranya untuk menolak tanggapan kuota Melayu dan bumiputera itu tidak boleh menghasilkan pelajar dan profesional cemerlang.

"Dengan ini, mereka perlu bekerja keras dalam pelajaran untuk bukan sahaja mencapai keputusan cemerlang untuk diri sendiri, tetapi juga untuk membuktikan mereka adalah sama baik, mungkin lebih baik setelah diberikan peluang," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata sistem kuota Melayu dan bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Anwar berkata jika sistem itu tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau 'tempang' jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.

-- BERNAMA