MALAYSIA
AS kurangkan tarif 19 peratus, kedaulatan Malaysia tidak dikompromi - MITI

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan AS itu mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus merupakan satu pencapaian penting dalam proses rundingan Malaysia yang amat menyeluruh dan sistematik, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat mengurangkan tarif eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus, hasil rundingan menyeluruh tanpa menjejaskan kedaulatan dasar negara. MITI menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti hubungan perdagangan kukuh dan saling melengkapi antara Malaysia-AS.
- MITI akan memanfaatkan kadar tarif baharu ini dengan memaksimumkan peluang eksport, memperkukuh pelaksanaan projek berimpak tinggi, dan meneruskan reformasi industri melalui NIMP 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Nasional.
- Dalam menghadapi cabaran ekonomi global, MITI akan terus menyokong pengeksport melalui 18 FTA sedia ada, mempelbagaikan pasaran eksport, serta menjalankan program jangkauan bersasar untuk membantu PKS menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan AS itu mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara.
"Ia juga mencerminkan kredibiliti Malaysia sebagai rakan kongsi perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai," katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memaksimumkan peluang daripada kadar tarif terbaru itu, didorong oleh momentum kukuh berdasarkan kadar pelaksanaan secara konsisten melebihi 85 peratus pelaburan yang diluluskan, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan, serta inisiatif pembangunan negara yang berimpak besar.
"Kita kekal komited untuk mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil memupuk perkongsian yang saling menguntungkan dengan pelbagai ekonomi utama, termasuk AS. Malaysia juga akan meneruskan strategi reformasi industri dan kepelbagaian pasaran bagi menyokong pertumbuhan negara," katanya.
MITI memaklumkan kadar 19 peratus itu secara kasarnya adalah setara dengan kadar tarif negara lain di rantau Asia Tenggara.
Rundingan tarif antara Malaysia dan AS bermula pada 6 Mei dan telah tamat secara rasmi pada 31 Julai, 2025, menurutnya.
Kementerian itu menjelaskan pihaknya juga telah bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi lain dalam menilai kesan daripada tahap tarif yang berbeza terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Dalam menguruskan kesan tarif sebanyak 19 peratus ini, MITI akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mengurangkan kesannya terhadap eksport.
"MITI akan menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai Malaysia, serta mempelbagaikan lagi dan mengembangkan pasaran eksport masing-masing," tambah kementerian itu.
Selain itu MITI akan meneruskan program reformasi industri, seperti yang ditetapkan oleh dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Pelaburan Hijau serta Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) untuk membantu syarikat Malaysia meningkatkan kecekapan, menerapkan automasi dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.
"MITI akan meneroka pelbagai pendekatan untuk terus menyokong syarikat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menyesuai dengan kadar asas tarif yang baharu," jelas MITI.
Mengenai prospek ekonomi global, MITI mengakui sejak Mac 2025, ekonomi global dihimpit oleh pelbagai cabaran termasuk perubahan dasar perdagangan, ketidakpastian tarif, dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
"Sebagai ekonomi perdagangan yang terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia berkait rapat dengan risiko luaran ini.
"Bagaimanapun, MITI sentiasa menekankan bahawa Malaysia menghadapi risiko dan cabaran ini dari kedudukan yang kukuh dan berdaya tahan, memandangkan permintaan domestik kekal kukuh, berkat sokongan dasar berterusan serta reformasi industri dan ekonomi yang telah mengekalkan penglibatan swasta," tambah kementerian itu.
Dalam beberapa bulan akan datang, MITI, serta kementerian dan agensi yang berkaitan akan menjalankan program jangkauan secara bersasar mengenai pelaksanaan kadar tarif yang baharu ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami