KUALA LUMPUR: Kurikulum baharu pendidikan di Malaysia diharapkan tidak lagi memisahkan murid kepada beberapa aliran di sekolah, seperti mana yang berlaku sekarang.

Harapan itu disuarakan Pakar Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Anuar Ahmad yang mahu melihat lebih banyak penambah baikan dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, murid seharusnya diberikan ruang untuk belajar apa yang mereka suka dan mengikut kecenderungan mereka.

“Walaupun mereka pelajar aliran Sains, tapi mereka juga boleh memilih subjek-subjek dalam aliran lain seperti bahasa, Sejarah, subjek yang tidak berkaitan dengan aliran Sains.

“Ini kerana yang penting, di akhirnya kita mengharapkan sistem pendidikan yang membina kemenjadian murid yang sebenarnya, bukan lagi memisahkan mereka mengikut aliran tersebut.

“Jadi, kita harapkan sistem pendidikan akan datang lebih fleksibel, murid boleh memilih apa yang mereka harapkan dan itu akan benar-benar menjadi satu perkara yang boleh kita sebut Kurikulum Kita,” katanya kepada Astro AWANI.

Astro AWANI pada 24 Ogos lepas melaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran, dijalankan secara efektif dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid.

BACA: KPM nilai semula subtopik yang tidak selari dengan keperluan murid

KPM melalui kenyataan memaklumkan tindakan tersebut, dijalankan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Dalam pada itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya kurikulum pendidikan negara bukan hanya disemak tetapi melaksanakan kurikulum baharu yang serba masa depan dan kalis cabaran.

Tegasnya, perkara tidak dijangka seperti penutupan sekolah yang agak lama akibat pandemik juga perlu diberi perhatian kerana Malaysia tidak bersedia untuk berdepan pentutupan lama sebegitu.

“Saya mengharapkan kurikulum akan dibuat nanti, ia adalah serba baharu, dan berikan kuasa atau autonomi kepada guru-guru dalam merancang dan melaksanakannya.

“Ia adalah bagi memastikan pendidikan itu selari dengan keperluan murid di kawasan masing-masing.

“Murid di kawasan bandar besar mempunyai sekolah hebat, mungkin keperluannya berbeza dengan keperluan murid di kampung, pedalaman dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya lagi, kurikulum baharu perlu lebih fleksibel, kalis masa dan dan memberi perhatian kepada keperluan murid, bukannya kurikulum standard untuk semua orang.