KLANG: Kerajaan Negeri Selangor mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.571 billion setakat Disember tahun ini, iaitu 128 peratus lebih tinggi berbanding sasaran untuk tahun ini, iaitu RM2 billion.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tahun 2023 menyaksikan sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 25.5 peratus.

Situasi tersebut, katanya, memperlihatkan peningkatan peranan Selangor sebagai negeri yang menyumbang lebih satu perempat kepada KDNK negara.

“Ini adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan Tuanku bagi memacu ekonomi negeri dan meningkatkan hasil demi manfaat rakyat jelata. 

“Malah, pencapaian ini menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat Tuanku terhadap sikap dan kebertanggungjawaban kerajaan Tuanku dalam merencana dan mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Sembah Ucapan Taat Setia sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran tersebut, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 97 penerima

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai, dengan dikurniakan Darkah Kerabat Selangor (D.K.I), manakala Ahli Dewan di-Raja Selangor, Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj menerima D.K kelas kedua (D.K.II).

Sementara itu, Amirudin juga berkata, kerajaan negeri bakal membangunkan Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS) dalam kawasan seluas 40,000 ekar di wilayah Selatan Selangor.

Melalui projek tersebut, katanya, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan perbandaran baharu seperti Shah Alam dan Bangi, untuk didiami rakyat Selangor serta dari lain-lain negeri yang berkerja di negeri ini.

Melalui Belanjawan 2024 yang dibentangkan November lalu, Amirudin berkata, Selangor berhasrat mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya yang meliputi empat bandar raya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Lembah Klang Raya bermatlamat menyatu, menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran empat buah bandar berkenaan bagi memudahcara proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah  birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat.

“Tambahan kepada itu, Lembah Klang Raya bertujuan membolehkan kerajaan Tuanku memulakan proses rejuvenasi bandar-bandar matang bagi menarik pelaburan dalam industri baharu berteraskan digitalisasi agar Gagasan Lembah Klang Raya menjadi bandar yang berdaya tahan terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, bandar yang mampan, serta berdaya huni,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, rakyat Selangor telah melaksanakan tanggungjawab dan memilih  Gabungan Perpaduan untuk terus mentadbir negeri dan menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Gabungan Perpaduan yang mewakili seluruh rakyat berbilang kaum dan agama di Selangor telah dipilih, membuktikan bahawa rakyat ingin melihat perancangan dan gagasan yang dibentang terus dilaksana demi kemakmuran negeri tercinta.

“Patik mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negeri Selangor ingin menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu serta bertekad terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam,” tambahnya.

Di samping itu, Amirudin berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus berikhtiar dan berusaha demi kesejahteraan semua rakyat Selangor yang berbilang bangsa dan agama, serta memelihara perpaduan yang dibina setelah sekian lama sebagai kerukunan rakyat negeri ini.