KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk menambah lima lokaliti di sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan kawasan hotspot oleh individu tertentu atau kumpulan tertentu yang tidak berdaftar, untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat, bertujuan mengelakkan berlakunya isu lambakan makanan sehingga menjadi sisa sampah yang boleh mencemarkan imej dan keadaan di kawasan tertentu.

Beliau mengakui ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa mematuhi tempat dan jadual pengagihan makanan kepada gelandangan yang ditetapkan, namun juga pihak yang tidak mematuhinya.

"Ada segelintir pihak atau individu tertentu lain yang mempunyai niat baik untuk edar makanan kepada gelandangan, tapi kaedah itu tidak sistematik, yang sebenarnya mengundang kesan negatif sekiranya tidak ditangani," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan 24 NGO yang berdaftar dan terlibat dengan agihan makanan di sini, hari ini.

Ketika ini terdapat tiga pusat agihan makanan seliaan DBKL iaitu Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

Jalaluddin berkata kaedah bakal digunakan itu akan menggunakan konsep trak makanan atau gerai yang membolehkan sesiapa sahaja yang mahu mengagihkan makanan dikumpul di suatu tempat dan mengikut jadual khusus selain dipantau pihak penguat kuasa DBKL dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA