Bagi menzahirkan penghargaan tidak berbelah bagi kepada pasukan petugas barisan hadapan, khususnya dalam sektor perubatan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menjadikan bandaraya dilimpahi cahaya biru.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, beberapa mercu tanda seperti Saloma Link, KLCC, Menara KL serta bangunan kerajaan lain di ketiga-tiga wilayah akan memasang lampu biru bermula 30 April ini.

“Kita dah pilih satu tarikh sempena Hari Pekerja (1 Mei), di mana kita warga wilayah akan mempamerkan ucapan terima kasih kita dengan bandaraya bercahaya biru.

“Kenapa biru? Kita difahamkan warna jururawat, atau warna sektor perubatan adalah biru. Jadi kita mengambil warna profesyen perubatan kerana kita faham usaha memerangi virus COVID-19 ini diterajui sektor perubatan,” katanya lagi.

Annuar berkata, kementerian akan memulakan inisiatif itu bermula 10.30 malam pada 30 hb, dan ia akan berlanjutan selama tiga hari berturut-turut.

“Kita turut menjemput seluruh rakyat malaysia untuk turut serta, tetapi ini merupakan inisiatif di Wilayah Persekutuan kerana orang kata epi-centre adalah di Wilayah.

“Jadi kita nak tunjukkan penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas perubatan, pekerja hospital, dan perkhidmatan sokongan yang lain yang telah berkorban masa dan tenaga untuk memutuskan rantaian penularan virus ini,” katanya lagi.