Skip to main content

Malaysia

Pelaksanaan BDR berjalan lancar, tidak jejas perkhidmatan - KPPA

KUANTAN, 16 April -- Pembantu Tadbir Mahkamah Kuantan, Zaleha Mohd Noor, 48, bertugas secara dalam talian dari rumah selepas dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam yang bermula semalam ketika tinjauan foto BERNAMA di sini.  Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam bermula semalam sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.  Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bertugas semua ibu
Pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam berkuat kuasa semalam, merupakan sebahagian langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat. - Foto Bernama

SUNGAI PETANI: Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam Persekutuan yang berkuat kuasa semalam, berjalan lancar dan tidak menjejaskan perkhidmatan yang diberikan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata tempoh pelaksanaan BDR belum ditentukan dan memerlukan masa untuk menilai impak pelaksanaannya.

Advertisement

“Seperti yang kita sedia maklum, BDR yang bermula semalam berjalan lancar dan laporan media juga menunjukkan pelaksanaannya tidak menghadapi masalah.

“Ia tidak menjejaskan perkhidmatan yang diberikan tapi sebenarnya untuk kita lebih jelas tentang impaknya, kita perlu mengambil sedikit masa, mungkin selepas seminggu, apabila data yang lebih menyeluruh dapat diperoleh bagi menilai keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Sejenak Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di sini, hari ini.

Pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam Persekutuan berkuat kuasa semalam, merupakan sebahagian langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan berkata program seminar berkenaan merupakan platform mempertemukan pemimpin untuk berkongsi pengalaman bersama penjawat awam.

“Hasil perkongsian ini diharapkan dapat menjadi panduan serta hala tuju kepada penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Program seumpama ini merupakan kesinambungan daripada program terdahulu yang dijenamakan semula dengan pendekatan baharu,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Ahmad Dahlan berkata pendekatan bual bicara santai itu diharapkan dapat membantu penjawat awam memahami hala tuju kerajaan serta menghayati tema kepimpinan, jati diri, keberkecualian dan profesionalisme.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, setiap dasar yang diumumkan memerlukan kefahaman matang dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan. Sebagai contoh, langkah penjimatan tenaga bukan sekadar pematuhan, tetapi manifestasi tanggungjawab dalam mengurus sumber awam secara berhemat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video