KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) tidak patut dilihat sebagai penyelesaian sesuatu cabaran.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata banyak bantuan yang telah dihulurkan oleh kerajaan bagi menolong rakyat, tidak kira sama ada akibat bencana, mahupun COVID-19.

Malah jelasnya, tiga program pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini hanya langkah jangka pendek serta bersifat sementara akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

"Kita tidak boleh membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk semua bencana. Hampir tiap tahun negara dilanda banjir.

"Mungkin akan ada bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya. Kalau untuk setiap bencana ni kita nak keluarkan simpanan KWSP, sampai bila-bila pun simpanan hari tua ni tak tercapai
matlamatnya," katanya dalam satu rakaman video, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setakat hari ini, melalui tiga kemudahan itu, setiap ahli KWSP telah dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM71,000.

Tambahnya, ia bukanlah satu amaun yang kecil memandangkan jumlah keseluruhan yang telah dikeluarkan adalah RM101 bilion.

Bagaimanapun, ujarnya terdapat tokoh-tokoh politik yang menuntut lebih banyak pengeluaran KWSP kerana pada mereka ia adalah modal politik mudah.

"Tetapi tuntutan ini tidak dibuat dengan sikap bertanggungjawab dan dibuat secara melulu tanpa analisis dan perkiraan rapi.

"Hakikatnya, hampir 50 peratus atau lebih kurang enam juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000. Pendek kata, golongan ini tidak akan mendapat faedah pun jika pengeluaran tambahan i-Citra RM10,000 dibenarkan.

"Malah, 74 peratus pencarum daripada golongan ini adalah bumiputera. Lebih membimbangkan lagi, 79 peratus daripada golongan yang mempunyai simpanan kurang dari RM1,000 juga adalah bumiputera," katanya.

Mengambil contoh kejadian banjir pada 2014, Tengku Zafrul berkata hampir 300,000 isi rumah terpaksa dipindahkan, dan ramai yang kehilangan harta benda.

Namun, kerajaan ketika itu tidak pernah membenarkan sebarang pengeluaran KWSP walau satu sen pun, tambahnya.

Bagi membantu mangsa bencana termasuk banjir yang berlaku baru-baru ini pula, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya banyak bantuan dihulurkan kerajaan bagi membantu rakyat.

Ia antaranya termasuk menyalurkan Bantuan Wang Ihsan yang ditingkatkan ke RM1,000; bantuan untuk membeli perkakas elektrik; bantuan untuk membaiki kenderaan; diskaun sehingga 50 peratus ke atas alat-alat ganti kereta; pembiayaan dengan kadar sifar peratus serta moratorium selama enam bulan.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul memberi keyakinan bahawa dalam menggubal dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan bukan sahaja jangka pendek tetapi juga kesejahteraan jangka panjang rakyat.