SHAH ALAM: Sebuah ladang ternakan khinzir di Tanjung Sepat di sini, dikesan membuat sambungan air secara haram tanpa melalui meter bekalan air yang sah untuk kegunaan di ladang berkenaan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi satu kenyataannya memaklumkan, sambungan menggunakan paip HDPE berukuran 32 milimeter (mm) itu dikesan menerusi operasi bersepadu Bahagian Penguatkuasaan SPAN bersama Air Selangor.

Menurut SPAN, Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan sebelum tindakan pemotongan bekalan air yang diperoleh secara tidak sah itu diambil dengan serta-merta.

"Selain itu, tindakan pengalihan kedudukan meter juga telah dilaksanakan oleh Air Selangor bagi mengelakkan aktiviti penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang ini berulang," kata kenyataan itu pada Jumaat.

SPAN berkata, operasi penguatkuasaan itu isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak disyaki membuat sambungan bekalan air menyalahi undang-undang.

"Kes ini disiasat di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

Orang ramai diminta untuk memaklumkan kepada operator air anda sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang anda syaki berkaitan aktiviti mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.