NATIONAL
Lagi kes kandungan jelik, MCMC rakam keterangan pegawai khidmat pelanggan

Lelaki berkenaan dipercayai mengeluarkan kandungan yang menghasut, dan menyentuh sensitiviti agama di laman X. - Foto: MCMC
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai khidmat pelanggan telah dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana dipercayai memuat naik kandungan bersifat jelik melampau, serta menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi media sosial X.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, MCMC berkata, sesi rakaman percakapan tersebut telah dijalankan di ibu negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, sebuah telefon pintar dan kad SIM milik lelaki berkenaan telah disita bagi tujuan analisis forensik.
“Rakaman percakapan suspek juga telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.“MCMC sekali lagi ingin mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan atau pandangan yang berbaur kebencian membabitkan elemen 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) di media sosial dan aplikasi pemesejan,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Perpaduan Negara telah membuat laporan terhadap seorang individu, yang mengeluarkan kenyataan dipercayai mempunyai elemen menghasut kebencian kaum
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata laporan tersebut telah dibuat kepada MCMC.
"Kementerian Perpaduan Negara komited dalam memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara.
"Oleh itu, sebarang bentuk kenyataan atau tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan menyemarakkan kebencian tidak boleh diterima sama sekali,” katanya di platform X.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami