KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan untuk lebih banyak subjek di semua sekolah akan bantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) & Pengarah KITA-UKM, Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata, ketika ini Malaysia mempunyai terlalu banyak aliran sekolah yang menggunakan bahasa pengantar yang berbeza-beza.

“Kita boleh menggalakkan sekolah-sekolah ini untuk mengajar beberapa mata pelajaran dalam bahasa kebangsaan. Sama ada subjek Sejarah, Sains atau apa sahaja yang boleh menggalakkan kemahiran bertutur.

“Jangan lupa kita ada sekolah antarabangsa di Malaysia. Tiap-tiap sekolah di negara kita tidak menggunakan keseluruhan bahasa kebangsaan dalam pengajaran.

“Itu sebabnya di Australia, tidak dibenarkan sekolah yang menggunakan bahasa Perancis atau Jerman sebagai bahasa pengantar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin bertitah, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna meskipun setelah 60 tahun Malaysia dibentuk.

Titah baginda, ini kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

Baginda bertitah demikian pada perasmian serentak Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15.