KAJANG: Persoalan sama ada kerajaan bakal melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal diketahui pada Isnin.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya juga telah menerima beberapa maklum balas daripada Ahli-ahli Parlimen dan akan mengulas mengenai perkara itu di dalam Dewan Rakyat.

“Saya akan jawab hari Isnin di Dewan Rakyat mengenai perkara itu (laksana semula GST) sebab perkara ini telah dibangkitkan pelbagai pihak dalam ucapan (Dewan Rakyat).

“Semalam saya bertemu dengan Ahli-ahli Parlimen kerajaan mengenai maklum balas mereka tentang Belanjawan 2024, ramai yang hadir ke libat urus dengan Ahli-ahli Parlimen dan memang ada beberapa persoalan tentang GST.

“Saya maklum kepada semua akan menjawab pada Isnin selepas sesi Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2023 pada Khamis.

Sebelum ini, wujud gesaan beberapa pihak untuk melaksanakan semula sistem GST khususnya bagi menyelesaikan masalah ketirisan cukai.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin melaksanakan semula GST atau sebaliknya.

Sementara itu, pakar ekonomi menyatakan bahawa GST mampu melonjakkan kutipan hasil negara.