SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura menjangkakan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas akan mengalami kesesakan pada hujung minggu berikutan cuti umum sempena Hari Kebangsaan pada 9 Ogos 2022.

Menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dari 5 hingga 10 Ogos mungkin akan berlaku kelewatan dan pelancong dinasihatkan merancang perjalanan mereka untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

ICA memaklumkan bahawa aliran trafik meningkat secara beransur-ansur di kedua-dua pusat pemeriksaan dengan bilangan pelancong turut meningkat kepada lebih 290,000 sehari pada hujung minggu baru-baru ini - 29 hingga 31 Julai -.

"Angka itu telah melepasi jumlah perjalanan ketika cuti sekolah pada Jun (278,000 sehari), Hari Wesak (224,000 sehari) dan Good Friday (149,000 sehari) pada hujung minggu," menurut ICA dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan menerusi laman sesawangnya pada Khamis.

Pada waktu puncak hujung minggu yang panjang sempena Hari Kebangsaan pada 2019, ICA memaklumkan jumlah pelancong yang melalui pusat pemeriksaan darat perlu menunggu sehingga empat jam sebelum mereka dibenarkan masuk ke negara itu.

Pelancong dinasihatkan supaya mengambil kira masa tambahan di imigresen dan mengelakkan terperangkap pada waktu puncak.

ICA juga mengingatkan pelancong yang berlepas melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands bahawa Jabatan Imigresen Malaysia telah memulakan kerja-kerja menaik taraf balai ketibaan di Bangunan Sultan Iskandar sejak 6 Jun.

"Sepanjang tempoh ini, balai ketibaan yang sedang dinaik taraf tidak akan beroperasi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA