KOTA KINABALU: Penerbangan sulung yang menghubungkan Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Terengganu, Terengganu bakal merancakkan lagi pelancongan domestik.

Selain meningkatkan ekonomi, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, ia sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negeri.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak AirAsia kerana memilih Kota Kinabalu sebagai salah satu laluan baharunya, dan berharap dapat terus bekerjasama dalam memulihkan industri pelancongan di Sabah," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, destinasi pelepasan baru ini akan menjadikan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong, bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia tetapi juga pelancong antarabangsa kelak.

"Saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk datang meneroka Sabah dan menikmati tawaran pelancongan serta kebudayaannya," katanya lagi.

Tambah Jafry, kementeriannya akan terus menyokong dan berharap untuk bekerjasama dengan AirAsia di masa depan bagi mempromosikan lagi industri pelancongan.

Semalam,  penerbangan sulung AK5310 berlepas dari Kota Kinabalu tepat pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang.

Untuk rekod, penerbangan di antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala tersedia untuk tempahan daripada serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari 2022, untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.