KUALA LUMPUR: Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping dijangka dibuka secara berperingkat awal tahun depan.

Menteri Kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yakin, WCE yang menjadi laluan alternatif kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dapat mengurangkan kesesakan terutamanya pada musim perayaan.

"Kerajaan kini memberikan tumpuan untuk menyiapkan WCE dari Banting ke Taiping yang akan menjadi laluan alternatif kepada PLUS  untuk pengguna menuju ke utara.

"Kerja-kerja penaiktaraf jalan Persekutuan di Tanjung Karang ke Sabak Bernam dan Teluk Intan ke Lekir juga telah disiapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Baki jajaran WCE yang masih dalam pembinaan oleh syarikat konsesi dijangka siap dan dibuka secara berperingkat pada awal depan dan keseluruhannya pada tahun 2025," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau berta demikian kepada soalan Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai inisiatif atau alternatif penambahbaikan bilangan lorong atau membina laluan ringan juga boleh membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas lebuh raya PLUS pada setiap kali hujung minggu dan terutamanya pada musim perayaan.

Dalam pada itu, Nanta menambah, pada ketika ini WCE yang sedang beroperasi di Selangor adalah dari persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan (NNKSB) sehingga ke persimpangan Bukit Raja Utara (Kapar) manakala jajaran di Perak adalah dari persimpangan Hutan Melintang sehingga Persimpangan Teluk Intan dan Persimpangan Lekir sehingga persimpangan Beruas.