Malaysia dan Singapura bersetuju membenarkan rentas sempadan secara bersyarat menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Kedua-dua inisiatif itu dijangka akan dilaksanakan pada 10 Ogos depan melibatkan urusan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara serta pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.

Ia diumumkan menerusi satu kenyataan bersama melibatkan Menteri Luar kedua-dua negara, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Dr Vivian Balakrishnan.

"RGL akan membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.

"Mereka yang memenuhi syarat harus mematuhi peraturan melibatkan langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19 yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara termasuk menjalani ujian swab Polymerase Chain Reaction (PCR).

"Wujud keperluan juga kepada mereka yang merentas sempadan untuk menyerahkan jadual perjalanan kepada pihak berkuasa negara berkenaan dan perlu mematuhinya semasa lawatan mereka," memetik kenyataan itu.



BACA: SOP 'green bubble' perlu diteliti - KKM

BACA: Kerajaan harus percepat pelaksanaan 'travel bubble'

Malah, pemegang pas jangka masa panjang juga dibenarkan berada di Malaysia atau Singapura untuk tempoh tiga bulan.

"PCA pula akan membenarkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka masa panjang bagi tujuan perniagaan dan bekerja untuk memasuki negara satu lagi dan bekerja.

"Selepas tiga bulan berturut-turut di negara mereka bekerja, mereka dibenarkan pulang ke negara asal untuk bercuti sementara, dan dibenarkan memasuki semula ke negara mereka bekerja untuk tempoh tiga bulan lagi secara berturut-turut.

"Mereka yang memenuhi syarat harus mematuhi peraturan melibatkan langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19 yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara," memetik kenyataan itu.

BACA: Malaysia digesa timbang 'travel bubble' bagi perjalanan perniagaan antarabangsa

BACA: Perbincangan pembukaan semula sempadan dengan Singapura positif - Hishammuddin

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) melibatkan syarat, protokol kesihatan dan tempoh permohonan untuk keluar masuk kedua-dua negara akan diumumkan 10 hari sebelum pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut.

Malah, Malaysia dan Singapura juga sedang merangka kertas cadangan untuk melaksanakan skim serta protokol bagi tujuan rentas sempadan termasuk secara harian melibatkan kedua-dua negara.