KUALA LUMPUR: Golongan orang kurang upaya (OKU) yang memohon melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui Laluan Khas hanya bersaing dalam kelompok mereka sendiri.

Mereka juga hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas minimum IPT Awam (IPTA) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta lulus temu duga atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan keperluan tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, syarat khas program pengajian itu adalah tertakluk kepada keputusan senat Universiti Awam termasuk bagi bidang undang-undang dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Pada sesi akademik 2023/2024, sebanyak lapan program pengajian undang-undang bagi lepasan STPM/Setaraf ditawarkan dan lima daripadanya menerima semua jenis ketidakupayaan calon OKU manakala satu menerima sebahagian ketidakupayaan.

“Manakala terdapat 11 program pengajian lepasan STPM/Setaraf dalam bidang teknologi maklumat ditawarkan pada sesi 2023/2024, dan lima daripadanya terbuka kepada semua calon yang berkelayakan dan menerima semua jenis ketidakupayaan calon OKU.

“Penawaran program kepada golongan OKU ini adalah melalui persetujuan bersama agensi/ institusi dengan mengambil kira kesediaan prasarana mesra OKU institusi itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN - Indera Mahkota).

Saifuddin bertanya adakah kementerian berhasrat meneliti dan mengkaji semula syarat kemasukan ke IPT bagi golongan OKU termasuk jurusan undang-undang dan ICT.