Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang Ghazali Ismail akan memastikan kawasan yang terkenal sebagai pusat beli-belah bebas cukai dinaiktaraf bukan sahaja untuk menarik kunjungan pelancong tetapi bagi meningkatkan sumber pendapatan masyarakat setempat.

Ghazali, 66, berkata usaha itu bagi memastikan golongan peniaga tempatan di kawasan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Nasib peniaga di sini akan dibela dengan pembinaan premis perniagaan yang lebih teratur dan bersih selain ruang meletak kenderaan lebih efisien kerana kedudukan tempat berniaga sekarang tidak teratur," katanya kepada Bernama.

Beliau juga merancang untuk menaiktaraf sistem perparitan dan sungai di kawasan itu bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di samping menyediakan dewan orang ramai untuk kemudahan masyarakat setempat melakukan aktiviti.

Rantau Panjang terletak di sempadan antara Malaysia dan Thailand, kira-kira 39 kilometer di barat daya bandar Kota Baharu, dan berhampiran Sungai Golok yang menjadi sempadan kedua-dua negara.

Antara kemudahan yang terdapat di situ ialah sekolah rendah dan menengah, balai polis, klinik kesihatan, Kompleks Imigresen dan pasar.

Pembangunan lain yang dibuat oleh kerajaan persekutuan di kawasan Parlimen Rantau Panjang ialah projek Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER) dan pusat pelancongan berhampiran pintu masuk sempadan.

Ghazali, bekas pengetua Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah berdepan dengan penyandang kerusi iaitu calon PAS Siti Zailah Mohd Yusoff dalam pertandingan satu lawan satu pada PRU-13, 5 Mei ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Siti Zailah memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,486 undi dalam pertarungan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Afandi Yusoff dan calon bebas Isma Airfath Hasanuddin.

Parlimen Rantau Panjang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Meranti, Gual Periok dan Bukit Tuku dengan jumlah pengundi 52,903 orang merangkumi 98.1 peratus Melayu, Cina (0.7 peratus) dan lain-lain (1.0 peratus).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Kuin Merah, Othman Hussin, 48, berkata walaupun Ghazali adalah calon muka baharu tetapi beliau sangat dikenali penduduk di situ.

"Kami panggil dia Cikgu Li sebab dia ni rendah diri walaupun berpendidikan tinggi. Dengan pengalamannya yang luas kami yakin dia mampu menyediakan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di sini," katanya.