KUALA LUMPUR: Langganan bagi perkhidmatan 5G di Malaysia berjumlah 3.6 juta dengan kadar penerimagunaan pada tahap 10.8 peratus setakat 31 Okt 2023, kata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Kementerian itu berkata bagi meningkatkan penerimagunaan dalam kalangan pengguna, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah pada Ogos 2023 untuk menawarkan pakej perkhidmatan dan peranti 5G kepada kumpulan berpendapatan rendah dan penjawat awam, pada harga berpatutan.

"Setakat 31 Okt 2023, jumlah langganan Pakej 5G Rahmah adalah sebanyak 98,979 unit," kata KKD dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman web Parlimen bertarikh 27 Nov.

KKD berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan yang meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan status pembangunan rangkaian internet 5G setakat ini dan jumlah langganan yang telah diterima menerusi perkhidmatan rangkaian 5G.

Kementerian itu turut memaklumkan kerajaan akan terus menggandakan usaha untuk menggalakkan penerimagunaan 5G bukan sahaja bagi pengguna biasa, malah turut melibatkan pelbagai sektor perusahaan seperti bidang pendidikan, pengangkutan, pertanian, penjagaan kesihatan, pembuatan, dan keselamatan awam.

Sementara itu, KKD berkata pelaksanaan rangkaian 5G negara ketika ini sedang giat dijalankan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dan kerajaan telah menyasar untuk menyiapkan sejumlah 7,509 tapak 5G di seluruh negara meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

"Setakat 31 Okt 2023, sebanyak 6,057 tapak 5G telah siap dibangunkan dengan perkhidmatan 5G kini telah mencapai 73 peratus liputan di kawasan berpenduduk," katanya.

-- BERNAMA