SUNGAI PETANI: Hanya mementingkan keuntungan, pengusaha kilang sanggup menipu pihak berkuasa dengan memberi helah menjalankan operasi barangan keperluan namun melakukan aktiviti pengeluaran bahan bukan keperluan antara faktor menyebabkan berlaku peningkatan kes COVID-19 di daerah Kuala Muda.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dalam tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) sebanyak 43 buah kilang telah diperiksa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan terhadap pemilik kilang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Industri Perdagangan Antarabangsa (MITI).

Katanya, ketika pemeriksaan pemilik kilang menunjukkan surat membuat pelitup muka bagaimanapun apabila diperiksa mereka beroperasi sebagai kilang mengeluarkan pakaian renang, arang kayu dan bahan kitar semula logam yang bukan barangan keperluan.

"Mereka dapat kelulusan MITI untuk mengeluarkan barang PPE dan topeng muka tapi bila kita periksa secara fizikal pengeluaran utamanya bukan barang PPE sebaliknya permainan kanak-kanak.

"Ini tindakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa sedangkan tidak sampai separuh pun pengeluaran topeng muka, yang lain adalah pengeluaran yang bukan barangan keperluan," katanya.

Adzli memaklumkan, sepanjang tempoh PKP 3.0, pihaknya mengeluarkan sebanyak 275 kompaun atas pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu 183 melakukan kesalahan berkumpul di tempat awam, parti liar dan kenduri.

"Kesalahan yang paling banyak adalah aktiviti aktiviti terlarang iaitu berkumpul mengadakan majlis malam, berkumpul minum arak, mengadakan majlis parti liar, buat kenduri cukur jambul, ini adalah kesalahan yang ketara," katanya.

Selain itu, 28 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan membabitkan rentas negeri tanpa kebenaran di mana lapan tangkapan dilakukan melibatkan warga asing.

Dalam pada itu, 26 individu dikompaun kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan dua kompaun ke atas kesalahan makan di dalam kedai makan serta tiga kompaun tidak mendaftar MySejahtera.

Menurut Adzli, nilai keseluruhan jumlah kompaun yang dikeluarkan kini melebihi RM1 juta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di daerah ini supaya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak lebih banyak penularan jangkitan berikutan daerah itu kini berada dalam zon merah di mana jumlah jangkitan kes baru meningkat setiap hari.