Walaupun disambut baik rata-rata pengguna jalan raya, pengumuman kerajaan untuk membekukan kenaikan bayaran tol di semua lebuh raya dalam bandar bagi tahun 2019 ada keburukannya.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Dr Law Teik Hua berpendapat langkah itu, selain memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya, dikhuatiri akan meningkatkan kesesakan jalan raya.

Katanya, langkah ini juga boleh memberi kesan yang tidak baik kepada inisiatif pengangkutan awam dan juga alam sekitar.

“Langkah berkenaan bakal menggalakkan lebih ramai untuk memandu sendiri seterusnya membawa kepada penambahan kenderaan peribadi di atas jalan raya, dan itu tentu ada kesannya tersendiri.

“Dari segi perspektif jalan raya, kita semestinya mahu mengurangkan penggunaan kereta peribadi dan kerana faktor kesesakan jalan raya begitu juga ia boleh membawa kepada isu pencemaran udara yang teruk,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, tindakan ini baik tetapi perlu sejajar dengan galakan penggunaan pengangkutan awam daripada kerajaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat mengumumkan mengenai pembekuan kenaikan bayaran tol di semua lebuh raya dalam bandar pada 2019, ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat.

Beliau berkata langkah mengutamakan kepentingan dan hal ehwal rakyat itu bakal memberi kesan kewangan dianggar bernilai RM700 juta.

Kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di jambatan pertama dan kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Johor mulai 1 Januari 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun.