KUALA LUMPUR: Modus operandi dan kaedah penipuan penjenayah kewangan yang sentiasa berubah memerlukan isntitusi kewangan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat dan terkini bagi menghindari penjenayah daripada terus menipu orang ramai.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, biarpun langkah kawalan akan menjadikan urusan perbankan dalam talian lebih rumit kerana lebih banyak semakan perlu dibuat, namun, ia perlu dibuat bagi melindungi kepentingan pelanggan.

"Semua agensi kewangan telah diarahkan mengambil langkah-langkah berikut untuk mengukuhkan lagi perlindungan Pertama semua institusi kewangan perlu beralih daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja atau one-time password melalui sistem pesanan ringkas SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.

"Peralihan ini melibatkan aktiviti dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun atau akaun setting.

"Kedua, memperketatkan pengesanan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan scam dan pelanggan akan dimaklumkan serta-merta apabila sebarang aktiviti seperti ini dikesan.

"Sebagai langkah tambahan, agensi kewangan juga akan menyekat transaksi tersebut dan pelanggan akan diminta memberikan pengesahan.

"Seterusnya ialah tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat semasa tempoh ini sebarang aktiviti perbankan dalam talian tidak akan dibenarkan.

"Keempat, mengehadkan pelanggan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan perbankan dalam talian.

"Kelima, bagi membantu mangsa scam semua institusi kewangan dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan, di samping meningkatkan tahap respon dan maklum balas ke atas penipuan kewangan yang dibuat oleh pelanggan mereka," katanya dalam ucapan perasmian Pameran Maya Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan belian online, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau Scam, African Scam, pintasan emel atau business email compromised dan penipuan SMS sebagai tujuh bentuk jenayah utama kewangan utama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan, statistik dari tahun 2019 mendapati sebanyak 63,093 kes penipuan kewangan membabitkan aktiviti perbankan dalam talian direkodkan, dengan nilai kerugian kira-kira RM2 bilion dan ia dijangka terus meningkat.

"Berdasarkan statistik PDRM 2019 sebanyak 13,073 kes dengan nilai kerugian RM539 juta pada 2020 sebanyak 17,227 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM511 juta dan pada 2021 sebanyak 20,701 kes dengan nilai kerugian RM560.8 juta.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2022, sebanyak 12,092 kes dengan nilai kerugian RM414.8 juta.

"Dari 2019 hingga Julai 2022, seramai 33,147 suspek kes penipuan siber telah ditangkap dan 22,196 kes jenayah atas talian berjaya dituduh di mahkamah," tambahnya.

Jelas beliau lagi, tiada penurunan dicatatkan dalam kes jenayah siber membabitkan penipuan dalam talian kerana kelicikan penjenayah siber mengeksploitasi teknologi dan kreatif dalam menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi.

"Ditambah pula dengan kesedaran masyarakat yang masih berada pada tahap yang sederhana, PDRM melihat wujudnya keperluan menyebarkan seberapa banyak ilmu pengetahuan masyarakat agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

'Kes penipuan seumpama ini memberi kesan kepada orang ramai tetapi juga kesan jangka panjang kepada ekonomi dan keselamatan negara serta boleh menggugat kemajuan ekonomi," ujarnya.